Usaha perkasa TVET perlu tindakan menyeluruh

in Wacana by

SHAH ALAM – Tindakan memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) khususnya dalam sektor pertanian tidak akan berhasil sekiranya ia hanya dilakukan secara ad hoc tanpa perancangan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang.

Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan, Nordin Abdul Malek berkata, pemerkasaan terhadap TVET tidak boleh berlaku tempoh semalaman kerana proses penerapan nilai dan minat dalam bidang tersebut bermula daripada peringkat sekolah rendah.

“Ini bukan perkara mudah untuk kita selesaikan secara semalaman kerana kita tidak melakukan proses membina dan membentuk minat serta sikap kecenderungan terhadap TVET dalam sektor pertanian dan perladangan.

“Kita tidak bina dari peringkat awal sekolah rendah sehingga sekolah menengah. Jadi ini telah menyebabkan kecenderungan untuk belia kita bagi menyertai sektor pertanian sudah semakin berkurangan ketika ini,” katanya ketika menjadi panelis program Wacana Sinar Siri-295 bertajuk ‘TVET: Emas Yang Terpinggir’ yang disiarkan secara langsung menerusi platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panel ialah bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Ahmad Tajudin Jab dan Pengarah Eksekutif Dewan Melayu, Rizal Jaapar; manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Nordin berkata, kegagalan kerajaan melahirkan anak muda yang mahir dalam sektor pertanian menerusi program TVET dikhuatiri akan secara langsung menjejaskan tahap keselamatan makanan negara ekoran daripada kekurangan sumber tenaga kerja.

Jelas beliau, negara jiran yang dahulunya mengambil pengetahuan daripada Malaysia seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia juga dilihat kini sudah jauh ke hadapan dalam membangunkan program TVET bagi menyokong industri pertanian mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata, bagi menarik minat anak muda untuk menceburi program TVET khususnya dalam sektor pertanian, usaha perlu digerakkan bagi menjadikan bidang tersebut sebagai antara tempat pilihan untuk mereka membina kerjaya.

“Misalnya kalau mereka bermula di peringkat operasi atau penyeliaan ladang, mungkin dalam tempoh lima ke 10 tahun ia akan memperoleh jawatan yang lebih baik seperti pengurus ladang dengan gaji dan imbuhan lumayan.

“Sebagai contoh, kita lihat harga kelapa sawit sekarang sedang mahal. Jadi ada bekas graduan saya yang bekerja di sektor perladangan mengakui bahawa bonus mereka sampai 10 bulan pun ada,” jelasnya

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya kerajaan segera mewujudkan beberapa insentif sebagai pelan tindakan jangka pendek bagi menarik minat anak muda bekerja dalam sektor pertanian.

Katanya, persoalan mengenai kos yang perlu ditanggung kerajaan tidak sepatutnya menjadi isu kerana pengeluaran pertanian negara dilihat mempunyai hasil pendapatan agak tinggi.

“Tidak ada masalah kerana kita difahamkan cukai eskport terhadap komoditi kelapa sawit sendiri pun bernilai berbilion ringgit setahun. Jadi tidak menjadi masalah kalau kita nak bagi mereka insentif sekali pun,” ujar beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: TVET bekal ilmu, pengalaman kepada usahawan baharu

ARTIKEL BERKAITAN:Kekurangan peruntukan bajet punca TVET terpinggir