Parti Kuasa Rakyat tidak didalangi sesiapa

in Politik by

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Presiden Penaja Parti Kuasa Rakyat, Kamarazaman Yaakob menafikan parti baharu itu didalangi oleh pihak-pihak tertentu termasuk adiknya yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menegaskan, parti itu tidak didorong atau diatur oleh sesiapa, sebaliknya dibentuk bersama rakan-rakannya dalam memperjuangkan hak rakyat miskin di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, parti itu telah membuat keputusan untuk menjadi parti mesra kerajaan kerana apa yang ingin diperjuangkan tidak mampu terlaksana jika parti itu tidak mesra dengan kerajaan hari ini.

“Menjadi hasrat kami untuk melahirkan sebuah parti berbilang bangsa dan kaum yang benar-benar demokratik. Akhirnya saya menemui rakan-rakan progresif di negara ini dan saya membentuk parti yang saya lunturkan.

“Kalau melihat sejarah perjuangan saya sejak zaman kampus di Universiti Malaya lagi sehinggalah penglibatan saya dalam mana-mana parti politik, keputusan saya, pemikiran saya, tindakan saya tidak pernah mengikut jalur pemikiran.

“Kami (beliau dan Ismail Sabri) mempunyai kesamaan oleh kerana kami datang daripada anak seorang penoreh getah, sudah tentulah hati nurani kami dekat kepada rakyat miskin,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Parti Kuasa Rakyat yang diadakan di The Diplomat, di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Kamarazaman berkata, Parti Kuasa Rakyat yang dilancarkan secara rasmi pada Ahad akan bersuara, bergerak dan berjuang dalam menuntut hak-hak dan keperluan rakyat terbanyak terutama golongan B40, M40 serta anak muda.

Jelasnya, beberapa perkara asas yang diperlukan oleh rakyat iaitu pelajaran percuma, kesihatan percuma, perumahan, peluang pekerjaan dan penumpuan terhadap golongan petani menjadi agenda penting parti ini.

Selain itu, beliau berkata, parti itu turut memperjuangkan kelestarian dan keadilan alam sekitar serta membebaskan rakyat dari cengkaman orang tengah serta kaum modal.

Ditanya tentang pendaftaran parti, beliau menjelaskan, Parti Kuasa Rakyat telah ada persefahaman dengan sebuah parti untuk bersama-sama memimpin parti tersebut dan menerima ideologi perjuangan yang dibawa serta membentuk pimpinan baharu dalam masa terdekat.

“Parti kami berbeza dengan Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (MUDA) yang berusaha mendapatkan pendaftaran. Kami hanya perlu berusaha untuk menukarkan nama parti berkenaan dan barisan kepimpinan yang baharu,” jelasnya.

Sementara itu, ditanya mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), beliau menjelaskan, untuk peringkat awal, mereka mahu mendekati rakyat dan memperkenalkan parti, perjuangan serta ideologi mereka terlebih dahulu.

“Pilihan raya itu adakah kami masuk atau tidak, bergantung kepada sokongan, dokongan dan penerimaan. Kita akan mengkaji selera pengundi, adakah anak muda menerima kami, begitu juga orang lama dalam politik.

“Jadi, bukan sasaran kami untuk melihat kerusi-kerusi dan membilang kerusi (nak tanding) tetapi kami meneruskan perjuangan dan melihat suasana, andai masa itu kami perlu melibatkan diri di dalam pilihan raya,” ujarnya.