Pemberian dos ketiga, penggalak mula diberi minggu hadapan

in Koronavirus by

SHAH ALAM – Pemberian dos ketiga dan dos penggalak vaksin Covid-19 akan mula diberikan kepada petugas barisan hadapan dan golongan berisiko tinggi seperti warga emas serta individu dengan penyakit kronik bermula minggu hadapan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pemberian dos ketiga akan diberikan kepada individu yang tidak mencapai tahap optimum dengan dua dos vaksin sahaja.

“Maksudnya kita akan beri kepada mereka yang ada masalah dengan sistem imun yang mana dua dos sahaja tidak cukup untuk beri mereka perlindungan dan merangsang sistem imun untuk melawan virus Covid-19. Jadi kita kena bagi dos yang ketiga.

“Manakala dos penggalak pula adalah bagi mereka yang mungkin cukup dua dos tetapi tahap imuniti terhadap Covid-19 semakin berkurang dengan masa.

“Jadi garis panduannya enam bulan selepas dos kedua sudah boleh beri dos penggalak dan kita akan mula beri pada minggu hadapan terhadap kumpulan tersebut,” katanya semasa wawancara eksklusif yang disiarkan di Astro Awani pada Ahad.

Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, baru-baru ini Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah yang dipengerusikan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah meluluskan penggunaan dos penggalak dan dos ketiga dengan menggunakan vaksin keluaran Pfizer.

“Insya-ALLAH kita akan buat kajian juga untuk menggunakan vaksin Sinovac dan AstraZeneca yang boleh dicampur supaya dapat merangsang sistem imuniti semula.

“Ini sangat penting kerana apabila kita dalam transisi beralih ke fasa endemik dan bila sempadan negeri dibuka serta diberi kebebasan, saya risau kepada golongan yang berisiko tinggi. Kita mesti jaga mereka dengan sebaiknya.

“Jadi sangat penting untuk mereka dapat dahulu, yang dewasa lain Insya-ALLAH kita akan bagi selepas kumpulan ini,” jelas beliau.