Buat ujian kendiri Covid-19 sebelum pulang ke kampung

in Koronavirus by

KUALA TERENGGANU – Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong menasihati perantau yang ingin pulang ke kampung halaman supaya melakukan ujian kendiri Covid-19 secara berkala bagi mengelak berlaku penularan virus berkenaan dalam kalangan ahli keluarga.

Beliau berkata, ia sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga berada pada tahap optimum serta bebas daripada virus Covid-19.

“Kebanyakan rakyat Malaysia amat teruja apabila kerajaan bersetuju membenarkan pergerakan rentas negeri bermula hari ini setelah 90 peratus populasi dewasa di negara ini telah divaksin.

“Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) ingin menasihati kepada semua rakyat Terengganu supaya membuat ujian kendiri iaitu RTK Ag saliva secara berkala untuk menjaga keselamatan orang yang tersayang dan keluarga,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan masyarakat supaya menangguhkan aktiviti-aktiviti yang melibatkan kehadiran ramai pada satu-satu masa.

“Jangan leka dan sentiasa patuhi prosedur operasi standard (SOP), kita perlu belajar hidup bersama Covid-19.

“Jika bergejala, segera dapatkan rawatan secara ‘walk in’ di premis kesihatan berhampiran,” katanya.

Pada Ahad, kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk rakyat Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula Isnin.

Selain itu, kerajaan juga membenarkan rakyat Malaysia yang telah lengkap dua dos vaksin melakukan perjalanan ke luar negara tanpa MyTravelPass.