Rentas negeri: Perkembangan positif negara

in Analisis Sinar by

SHAH ALAM- Kelonggaran rentas negeri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad telah memberi perkembangan positif kepada negara dalam pelbagai aspek.

Antaranya adalah meningkatkan ekonomi negara, pembukaan semula sektor pelancongan, membuka peluang pekerjaan baharu dan tidak lupa juga mampu memberikan nafas lega serta memulihkan mental rakyat yang rindu akan keluarga di kampung halaman.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Mohd Shuhaimi Hassan menjangkakan jumlah trafik meningkat kepada empat juta kenderaan dalam sehari.

Menurutnya, bagi memastikan kelancaran pergerakan trafik, LLM telah mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya untuk menjadualkan pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan mengelakkan pelaksanaan penutupan lorong.

Untuk makluman, tiket penerbangan perjalanan domestik mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, sejak pengumuman kebenaran perjalanan merentas negeri, AirAsia mencatat lonjakan trafik yang tinggi di aplikasi Super AirAsia sebanyak 140 peratus.

Katanya, antara destinasi yang mempunyai permintaan tertinggi adalah Kuala Lumpur, Langkawi, Kota Kinabalu, Kuching, Kota Bahru dan Pulau Pinang.

Bukan itu sahaja, tiket pengangkutan awam ke utara, pantai timur dan pusat peranginan pada hujung minggu ini juga menerima permintaan luar jangkaan.

Kumpulan Ketua Pegawai Eksekutif Sani United Bhd, Md Yusri Che Romli berkata, tiket bas untuk ke pusat peranginan seperti Langkawi dan Terengganu turut mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.

Jelas beliau, jualan tiket bas ekspres untuk laluan memasuki Kelantan bermula Isnin meningkat hampir 70 peratus.

Tidak lupa juga, bagi industri perhotelan, Timbalan Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel menjangkakan kadar tempahan hotel dalam negara boleh meningkat sebanyak 50 peratus dalam masa terdekat.

Menurut beliau, buat masa ini, agensi pelancongan dan industri perhotelan mula aktif terutama di lokasi percutian.

Susulan itu, situasi ekonomi negara dijangka berubah ke arah lebih baik berikutan sebahagian besar perbelanjaan pelancongan domestik adalah untuk membeli-belah.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, peniaga gerai sudah tentu bakal mendapat manfaat secara langsung apabila orang ramai sudah boleh keluar berbelanja, melancong dan sebagainya.

Menurutnya, perbelanjaan pelancongan domestik merudum ke paras RM40.4 billion tahun lepas berbanding RM103.2 billion pada 2019.

Apabila kegiatan ekonomi dapat dirancakkan kembali, ia sekaligus menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, keputusan itu merupakan langkah yang tepat bagi tujuan menyeimbangkan semula sektor ekonomi di negara.

Selaras dengan perkembangan positif itu, Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan agar masyarakat tidak leka dan cepat berpuas hati dengan status semasa jangkitan Covid-19 di negara ini.

Menurutnya, negara wajar mengambil pengajaran dari peristiwa kenaikan kes Covid-19 yang mendadak sebelum ini sehingga melumpuhkan pelbagai sektor ekonomi dan sosial.

Jelas beliau, melalui inisiatif ‘reopening safely’, semua pihak perlu memainkan peranan yang penting bagi bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini.