Kes baharu Covid-19 naik kepada 7,276

in Koronavirus by

PUTRAJAYA – [DIKEMASKINI] Sebanyak 7,126 daripada 7,276 kes baharu positif Covid-19 adalah kategori satu dan dua.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hanya 150 kes positif yang dikesan terdiri daripada kategori tiga hingga lima.

“Daripada jumlah itu juga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 10 kes import dan 7,266 penularan dalam negara yang membabitkan 6,869 rakyat tempatan dan 397 warga asing,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, keseluruhan kes terkumpul positif Covid-19 adalah 2,353,579 kes.

“Sebanyak 683 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 398 pesakit memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat 10,555 kes sembuh turut direkodkan menjadikan jumlah keseluruhannya 2,217,057 kes.

“Sejumlah 14 kluster baharu dikenal pasti KKM yang membabitkan enam kluster tempat kerja dan lima kluster komuniti,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, turut dikesan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi, pendidikan lain dan institut pendidikan swasta.

“Jumlah kluster yang direkodkan adalah 5,611 dan 4,828 daripadanya telah diisytiharkan tamat manakala 783 kluster lagi masih aktif,” katanya.

Sementara itu, beberapa negeri dan wilayah merekodkan kadar kebolehjangkitan (Rt) melebihi satu peratus melebihi nilai Rt negara, 0.88.

Ia adalah Putrajaya (1.08), Negeri Sembilan (1.04) dan Perlis (1.01).

Negeri lain berada pada kadar Rt 0.81 hingga 0.96