Pelari Kenya dominasi Maraton Boston

in Sukan by

PELARI Kenya, Benson Kipruto dan Diana Kipyogei membuktikan kehebatan apabila kedua-duanya buat pertama kali menjuarai kategori masing-masing pada kejuaraan Maraton Boston.

Kipruto yang tampil dengan reputasi juara Maraton Prague pada Mei lalu, agresif meloloskan diri dari kelompok utama ketika perlumbaan berbaki 10 kilometer menyerap tekanan di sepanjang jajaran Boylston Street dengan catatan dua jam, sembilan minit, 51 saat.

Pelari Ethiopia, Lemi Berhanu dan Jemal Yimer pula mengakhiri saingan di kedudukan kedua serta ketiga perlumbaan tersebut.

Sementara itu, Kipyogei yang tampil dengan status juara Maraton Istanbul, berdepan saingan sengit apabila terperangkap bersama pelari dalam kelompok utama pada 25 kilometer pertama sebelum meloloskan diri untuk selesa mendahului perlumbaan 10 saat mengatasi pesaing lain.

Pelari Ethiopia, Netsanet Gudeta cuba menghadirkan cabaran buat Kipyogei, namun pelari Kenya tersebut berjaya mengakhiri larian di kedudukan teratas dengan catatan dua jam, 24 minit dan 45 saat.

Bekas juara edisi 2017, Edna Kiplagat dan Mary Ngugi pula masing-masing di kedudukan kedua serta ketiga sekali gus menyapu bersih senarai podium buat Kenya.

Maraton Boston perlumbaan tertua dunia berusia 125 tahun diinspirasikan pada 1897, merupakan antara acara maraton utama dunia sebelum ini dijadualkan pada April ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19.