Covid-19: 103 lagi kematian direkod termasuk kes tertunggak

in Koronavirus by

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 103 kes kematian baharu Covid-19 setakat tengah malam tadi.

Kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 berjumlah 27,525 setakat ini.

Melalui data KKM di portal COVIDNOW, sebanyak 26 daripada 103 kes yang dilaporkan ialah kematian di luar hospital (BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu berikutan proses yang mengambil masa bagi mengesahkan sama ada pesakit Covid-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut.

Sementara itu, terdapat 108,997 kes aktif Covid-19 di seluruh negara yang mana 85,383 individu atau 78.3 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 15,387 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Sebanyak 7,505 kes dirawat di hospital dan 722 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 336 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 386 lagi memerlukan mesin ventilator.