Perkasa Akta Perlindungan Pemberi Maklumat

in Khas by

SHAH ALAM – Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 perlu diperkasakan bagi memberikan perlindungan kepada rakyat Malaysia yang tampil mendedahkan sebarang infromasi mengenai isu salah guna kuasa yang berlaku di dalam negara.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Jerald Joseph berkata, langkah tersebut juga perlu disertai dengan usaha untuk mengurangkan kebergantungan dan penggunaan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Katanya, kerangka perundangan sedia ada negara ketika ini masih tidak mencukupi bagi membolehkan rakyat untuk bukan sahaja mendedahkan salah guna kuasa yang berlaku tetapi juga mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk menyiasat perkara terbabit.

“Untuk orang biasa, apa yang saya nampak mereka ini satunya masih tidak yakin (dengan Akta Pemberi Maklumat) dan keduanya mereka takut.

“Dalam sistem perundangan kita, ada perundangan lebih tinggi daripada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan yang akan mengatasinya iaitu OSA,” katanya ketika program Wacana Sinar Harian Edisi ke 297 bertajuk ‘Masa Depan Malaysia: Memperkasa Peranan Masyarakat’ pada Selasa.

Turut menjadi panelis pada program yang diacarakan oleh Ismail Adnan itu ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir dan Naib Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Dr Thanussha Francis Xavier.

Wacana yang dianjurkan oleh National Oversight & Whistblowers (NOW) itu turut turut disokong oleh Malaysia Reform Initiative (Mari), USAID from The American People dan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Jerald berkata, kewujudan OSA juga secara langsung menyukarkan rakyat termasuk pegawai kerajaan bagi mendedahkan bukti penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran negara.

“Walaupun mereka (pegawai kerajaan) melihat ada perkara yang tidak wajar atau kelakuan yang tidak baik, tapi mereka tidak boleh mendedahkan kerana itu menjadI kesalahan di bawah kanun keseksaan. Jadi mereka ini dipaksakan diam,” jelas beliau.

Pada masa sama, Gerald mengakui masih masih ramai rakyat Malaysia yang tidak jelas berkenaan perlindungan yang diperuntukkan di bawah akta perlindungan tersebut.

Menurut beliau, perundangan antarabangsa turut memperuntukkan perlindungan terhadap mana-mana individu yang mendedahkan atau menyampaikan sebarang maklumat.

Dalam pada itu, Jerald turut memaklumkan bahawa Suhakam menerima kira 1,000 aduan setiap tahun berkenaan isu hak asasi manusia termasuk daripada mereka yang memberikan maklumat berkaitan dengan salah guna kuasa.