Rasuah: Lindungi pemberi maklumat

in Khas by

SHAH ALAM – Ketua Angkatan Muda Keadilan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir melahirkan kebimbangannya berhubung pembelaan kepada pemberi maklumat yang mendedahkan isu rasuah.

Menurutnya, selagi negara ini tidak membela pemberi maklumat, apa yang dikhuatiri adalah kes-kes rasuah akan terus berulang.

“Dalam isu pemberi maklumat, bagaimana kita nak melindungi mereka supaya kes-kes tersebut dapat terbongkar atau terungkai.

“Saya mengambil contoh, kalau di Parlimen sekarang tengah panas isu Kertas Pandora. Bagi saya ‘whistleblower’ itu adalah Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) yang mendedahkan maklumat itu.

“Nasib baik dia antarabangsa, kalau dia rakyat Malaysia sudah kena panggil polis kerana maklumat yang dikeluarkan itu agak sensitif,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian edisi ke-297 bertajuk ‘Masa Depan Malaysia: Memperkasa Peranan Masyarakat’ yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Wacana itu turut menampilkan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Jerald Joseph dan Naib Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Dr Thanussha F Xavier sebagai panelis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Akmal menambah, sekiranya Kertas Pandora tidak diterbitkan dan wartawan tidak memainkan peranan untuk menceritakan perkara tersebut, tidak ada siapa yang mengetahui nama-nama yang didedahkan mempunyai akaun luar pesisir.

“Kerana itu, pemberi maklumat sebenarnya sangat penting tetapi akhirnya terpulang kepada masyarakat sama ada kita nak mengecam perasuah-perasuah tadi atau nak mengecam pemberi maklumat,” ujarnya.

Katanya, masalah atau cabaran yang dihadapi adalah untuk menukar pemikiran orang ramai bahawa pemberi maklumat bukan menyusahkan.

“Mereka ini adalah penyelamat dan mereka inilah yang mendedahkan perkara sebenar. Tetapi hakikatnya, yang ada pada hari ini pemberi maklumat yang selalunya dihukum dahulu. Pemberi maklumat yang dihadapkan dengan dakwaan dan sebagainya.

“Kita ada sejarah sebelum ini dalam kes Rafizi Ramli berhadapan dengan NFC (Perbadanan Fidlot Nasional), kes 1Malaysia Development Berhad dan saya sebelum ini dalam kes Yapeim (Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia) sebagai contoh akhirnya saya yang disaman oleh pihak terbabit,” jelasnya.

Tegasnya, perlindungan kepada pemberi maklumat sangat penting agar budaya pendedahan salah laku dan adanya ketelusan dapat diangkat bersama.