Tupah mula dikunjungi lepas tragedi kepala air

in Edisi by

SUNGAI PETANI – Taman Eko Rimba Tupah di Merbok yang ‘sunyi’ seketika selepas tragedi banjir lumpur dan kepala air dua bulan lalu kini mula dikunjungi orang ramai.

Biarpun masih terdapat kesan sisa banjir dan runtuhan tanah, pengunjung yang ditemui lega apabila dapat menikmati semula keindahan air terjun Tupah yang dikatakan lebih lebar dan jernih.

Hidayah Mansor, 37, dari Sungai Petani berkata, sebelum ini air terjun agak kering dan keruh namun selepas tragedi kepala air, kelebaran sungai semakin besar.

Hidayah membawa anak-anaknya untuk mandi di kawasan itu kerana sudah lama mereka tidak berkunjung ke situ

“Saya pun bimbang juga kerana ada jalan yang retak tetapi ramai pengunjung sebaik sahaja kami masuk ke sini,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Mohd Syazrin Buamin, 33, dari Taman Arked Sungai Petani berkata, kebenaran rentas daerah dan peralihan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Kedah membolehkannya mengambil peluang membawa isteri, Nor Hidayah Jamalufin, 33, yang sarat mengandung serta anak-anak menikmati keindahan air terjun.

Menurut Nor Hidayah, setelah lama di rumah, dia dan anak-anak gembira kerana boleh bermain air sungai sebagai lokasi melakukan aktiviti bersama keluarga sebelum berpantang.

“Sebelum ini kakak yang tinggal dekat sini sudah datang berkelah. Jadi kami teringin mandi sungai kerana katanya air semakin jernih dan sungai lebar serta dan cantik,” jelasnya.

Wanita itu mengakui keadaan laluan masuk yang agak berbahaya berikutan terdapat kesan rekahan kemungkinan akibat tragedi kepala air.

“Sekiranya kerajaan tidak membenarkan pengunjung masuk, sepatutnya diletakkan papan tanda amaran yang besar supaya semua tahu tetapi ketika sampai kami tengok ramai yang masuk,” katanya.

Shafiq Idris, 23, dari Sungai Lalang, memberitahu, dia hanya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk sampai ke lokasi itu bersama keluarga dan rakan selepas tamat tempoh sekatan pergerakan.

“Saya bawa kawan, Mohd Amirul Ramli, 23, dari Pendang yang sudah lama tidak melakukan aktiviti rekreasi dan dia juga seronok malah tidak menolak pelawaan saya untuk menikmati keindahan di sini.

Seorang lagi pengunjung dari Sungai Lalang, Zainol Hamid, 66, memberitahu, dia berjanji untuk bertemu anak yang datang dari Alor Setar setelah lama tidak berjumpa.

“Anak bawa cucu mandi air terjun dan kami jumpa di sini. Boleh juga beriadah dan tenangkan fikiran setelah lama tidak melakukan aktiviti sebegini,” katanya.

Menurut Zainol, keadaan tempat ini agak baik dengan aliran air lebih lancar dan kanak-kanak juga gembira bermain air.

Katanya, dalam keadaan berjaga-jaga, dia masih bimbang jika hujan atau mendung selain sentiasa memantau ahli keluarga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Sementara itu, pasangan suami isteri, Halim Ahmad, 62, dan Maria Ibrahim, 52, berkunjung ke taman eko rimba itu bagi melihat keadaan sebenar selepas tragedi.

Menurut Halim, selain menikmati keindahan air terjun, dia juga melakukan pemantauan di sekitar kawasan peranginan itu sebelum membuat keputusan membawa ahli keluarga lain untuk beriadah.

Walaupun menyedari aliran Tupah yang berpunca dari puncak Gunung Jerai merupakan salah satu kawasan terjejas tragedi kepala air, dia yakin kawasan berkenaan selamat sekiranya tiada tanda-tanda hujan atau ribut walaupun masih terdapat pokok tumbang dan sisa kayu di kawasan air terjun.

“Kami datang tengok dulu sama ada selamat atau tidak, kalau musim hujan memang tidak sesuai bawa kanak-kanak, tetapi kalau cuaca cerah boleh bawa anak dan cucu mandi,” jelasnya.

Tragedi kepala air 18 Ogos lalu telah menyebabkan lebih 200 buah rumah di Daerah Kuala Muda dan lebih 800 buah rumah di Daerah Yan terjejas dengan enam nyawa terkorban.