Warga emas, frontliners terima dos penggalak

in Koronavirus by

PUTRAJAYA- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memulakan pemberian dos penggalak kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas dan anggota barisan hadapan yang lengkap vaksinasi sekurang-kurangnya enam bulan lalu.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, individu yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera.

“Bagi individu yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera, pemakluman akan dibuat melalui pesanan ringkas atau panggilan telefon oleh Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pemberian dos penggalak dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Objektif pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 ialah untuk memastikan tempoh perlindungan yang optima diperoleh oleh penerima vaksin di negara ini,” katanya.

Khairy berkata, dos penggalak merupakan dos tambahan yang perlu diberikan kepada seseorang yang sebelumnya mendapat perlindungan mencukupi selepas vaksinasi lengkap namun imuniti tersebut menurun dari semasa ke semasa.

“Pemberian dos penggalak akan diterajui oleh klinik swasta (GPs) di bawah penyelarasan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd,” katanya.

Menurutnya, fasiliti kesihatan kerajaan akan memberi suntikan vaksinasi kepada anggota kesihatan masing-masing.

“Anggota kesihatan swasta juga boleh mendapatkan dos penggalak dari fasiliti masing-masing bergantung kepada persetujuan jabatan kesihatan negeri,” katanya.

Ujarnya, dos penggalak akan diberikan di fasiliti kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi anggota barisan hadapan ATM.

“Pemberian dos penggalak akan melibatkan penerima dos lengkap vaksin Comirnaty keluaran syarikat Pfizer BioNTech dahulu di mana individu tersebut akan menerima vaksin yang sama.

Ini memandangkan hanya vaksin Comirnaty yang telah mendapat kelulusan bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 8 Oktober,” katanya.