Kaukus Medical Cannabis kaji kawal selia penggunaan ketum

in Nasional by

SHAH ALAM – Ahli-ahli Parlimen bersetuju untuk menubuhkan Kaukus Medical Cannabis untuk mengkaji isu kawal selia penggunaan ketum dan ‘medical cannabis’ (kanabis perubatan) bagi mengurangkan kemudaratan sebagai salah satu bentuk perubatan yang diiktiraf di Malaysia.

Menurut kenyataan bersama, kaukus itu ditubuhkan dan diwakili oleh ahli-ahli Parlimen merentas pelbagai parti.

Jelasnya, ia sebagai salah satu usaha bipartisan yang murni dalam merangka dasar dan strategi untuk mengkaji kawal selia penggunaan ketum dan ‘medical cannabis’ bagi mengurangkan kemuradaratan.

“Sebagai sebahagian dari rangka kerja awal, Kaukus Medical Cannabis akan bertemu dengan kumpulan pakar kesihatan, penyelidik, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan berkaitan dan kementerian yang terlibat bagi mendapatkan pandangan untuk pembentukan dasar,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Kenyataan bersama itu ditulis oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selaku presiden; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad; Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar Arulanandam.

Turut bersama, Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ignatius Darell Leiking; Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen; Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail; Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Tambah kenyataan itu, hasil daripada penubuhan, Kaukus Medical Cannabis akan hadir dengan draf cadangan untuk perhatian kerajaan Malaysia bagi memastikan pesakit yang bergantung kepada kaedah perubatan ketum dan ‘medical cannabis’ dapat dijaga melalui sistem kesihatan negara.

“Ini juga selaras dengan usaha untuk mengembangkan industri ketum dan ‘medical cannabis’ di Malaysia yang boleh memberi manfaat kepada industri kesihatan negara dan rakyat tempatan.

“Kaukus Medical Cannabis percaya bahawa semangat bipartisan yang diangkat ini akan dapat diterjemah kepada dasar dan strategi yang baik untuk kebaikan rakyat dan negara,” ujarnya.