KKM bangunkan sistem daftar bunuh diri

in Nasional by

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang membangunkan sistem Daftar Bunuh Diri dan Kecederaan Fatal Kebangsaan (NSFIRM) yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2023, Dewan Negara diberitahu pada Khamis.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, buat masa ini, KKM sedang dalam perincian proses kerja serta pembangunan aplikasi bagi sistem tersebut, yang akan melibatkan semua fasiliti hospital KKM di seluruh negara.

“NSFIRM disenaraikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan diperuntukkan RM4 juta bagi pembangunan sistem tersebut.

“Pembangunan NSFIRM akan membolehkan pembangunan statistik terperinci dan tepat berkaitan kejadian bunuh diri dan kecederaan fatal diperoleh, yang mana ia akan membantu memperkukuhkan usaha pembangunan dasar dan program pencegahan tingkah laku bunuh diri,” katanya pada persidangan Dewan Negara di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Senator Fadhlina Sidek mengenai status dan pertimbangan kerajaan tentang pelaksanaan semula Daftar Bunuh Diri Kebangsaan, bagi membolehkan masyarakat mendapat akses kepada informasi kes bunuh diri.

Dr Noor Azmi berkata, sementara menunggu sistem itu siap sepenuhnya, KKM akan menggunakan data diperoleh daripada sumber lain seperti Polis Diraja Malaysia dan Institut Sosial Malaysia, untuk melihat statistik kes bunuh diri dan kecederaan fatal di negara ini.

“Data-data ini akan menunjukkan bagaimana masalah bunuh diri. Daripada Januari hingga Mac 2021, sebanyak 336 kes direkodkan sedangkan pada tempoh sama tahun lepas 112 kes dilaporkan, iaitu peningkatan sebanyak 67 peratus. Kes didapati melibatkan umur yang produktif antara 19 dan 40 tahun.

“KKM akan mengambil data-data ini untuk melihat bagaimana kita nak mengkaji isu ini dan sebab itulah usaha melaksanakan sistem data bunuh diri dan kecederaan fatal sedang dipergiatkan. KKM sangat serius mengenai perkara ini…kita letakkan dana yang tinggi untuk melaksanakannya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Fadhlina yang ingin tahu apakah mekanisme untuk KKM menjalankan intervensi sekiranya sistem itu belum siap sepenuhnya. – Bernama

TAG: dewan negara, KKM, bunuh diri, sistem, aplikasi, data, dr noor azmi ghazali