Skim Pelabelan Produk Cekap Air

in Nasional by

Bagi memelihara air dan menyumbang kepada persekitaran yang lebih hijau, penggunaan produk cekap air perlu terus dipromosikan dan dipertingkatkan kepada pembekal serta pengguna.

Bagi mencapai matlamat itu, Skim Pelabelan Produk Cekap Air (SPPCA) atau Water Efficient Products Labelling Scheme (WEPLS) merupakan salah satu inisiatif berterusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam mempromosikan amalan baik terhadap pengurusan permintaan air di negara ini.

SPPCA adalah skim secara sukarela yang diperkenalkan oleh SPAN agar para pembekal dapat mendaftar seterusnya melabel produk-produk cekap air keluaran mereka selaras dengan ketetapan oleh SPAN.

Apakah pentingnya SPPCA kepada pembekal dan pengguna? Produk yang telah diluluskan serta disenaraikan di bawah SPPCA akan memaparkan label kecekapan air pada pembungkusannya atau pada produk itu sendiri.

Label ini berfungsi untuk memberi maklumat kepada pengguna mengenai penarafan kecekapan penggunaan air bagi sesuatu produk, sekali gus memudahkan pengguna untuk mengenal pasti produk yang lebih cekap air berbanding produk konvensional yang berada di pasaran.

Pelabelan produk cekap air juga dapat membantu pengguna dalam membuat pilihan yang tepat ketika urusan pembelian kerana perincian produk serta pembekal yang berdaftar dengan SPPCA boleh disemak melalui label yang dilekatkan pada pembungkusan atau produk itu sendiri.

SPPCA diperkenalkan untuk tujuan berikut:

– Meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai produk yang lebih cekap air yang berada di pasaran.

– Mendorong tabiat penggunaan air secara sihat dan berhemah di kalangan pengguna.

– Mempromosikan gaya hidup hijau dengan penggunaan produk cekap air.

– Mendorong pembekal mempertingkatkan pemasaran produk-produk cekap air di Malaysia.

– Memotivasikan pengenalan teknologi kos efektif dan cekap air di Malaysia.

Lima jenis produk di bawah SPPCA adalah:-

  • Pili (tap) air.
  • Tangki tandas 2 simbahan ( Dual flush cistern)
  • Urinal (mangkuk buang air kecil)
  • Pancuran mandi ( shower heads),dan
  • Mesin basuh (washing machines)
  • SPAN memandang jauh ke hadapan, selaras meningkatnya promosi serta pengetahuan mengenai produk cekap air bakal memberi impak terhadap perubahan sikap pengguna seterusnya lebih cenderung memilih dan menggunakan produk cekap air.

    Produk cekap air dinilai berdasarkan tahap penggunaan air dan penarafan bintang di mana lebih banyak bintang, lebih cekap, lebih banyak penjimatan air!