Pemuda Pas desak tindakan segera selesai isu arak

in Politik by

SHAH ALAM – Pemuda Pas Selangor mendesak agar tindakan lebih serius dapat diambil segera bagi menyelesaikan isu berkaitan arak yang melibatkan sensitiviti umat Islam di negara ini.

Ketuanya, Hanafi Zulkapli berkata, pihaknya masih konsisten bahawa arak yang dilesenkan perlu dikawal dengan peraturan jelas sebagaimana dilaksanakan kerajaan Kelantan sejak lebih 20 tahun lalu.

Menurutnya, isu arak perlu dibantah oleh semua pihak dengan mendesak agar pihak bertanggungjawab menjalankan gerak kerja lebih serius dalam menangani permasalahan itu.

“Terbaharu apabila tular berita arak berjenama Timah yang menerima anugerah peringkat antarabangsa.

“Ini bukanlah kebanggaan tetapi memalukan kerana Malaysia sebuah negara yang meletakkan identiti negara Islam menerusi peruntukan perlembagaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Hanafi berkata demikian bagi mengulas mengenai isu arak jenama Timah yang dikatakan produk keluaran negara ini dan tular di laman-laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Kerajaan menerusi Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary sebelum ini turut menafikan mempunyai hubung kait dengan pengeluaran arak jenama itu.

Mengulas lanjut, Hanafi menggesa agar umat Islam bangkit bagi menunjukkan kesatuan suara ummah dalam isu melibatkan sensitiviti agama di negara ini.

“Sekali pun dikatakan ia bukan keluaran negara kita namun lesen dan operasi kilang adalah bawah kuasa kita.

“Pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri mesti bertanggungjawab dan jangan hanya menunding jari kepada pihak lain.

“Kuasa di tangan kita maka gunakannya dengan cara betul bagi mendapat keredaan ALLAH,” katanya.