Benzema layak menang Ballon d’Or

in Sukan by

PENYERANG Real Madrid, Karim Benzema layak untuk memenangi anugerah Ballon d’Or musim ini selepas memperagakan persembahan cemerlang bersama pasukan kelabnya itu sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Bekas pengendali Real, Zinedine Zidane berkata, kemampuan Benzema tidak perlu disangkal lagi dengan ketajaman pemain itu di hadapan gol sudah sememangnya terbukti.

“Kita bercakap tentang pemain yang sangat layak untuk memenangi Ballon d’Or iaitu Benzema.

“Dia seorang pemain yang luar biasa dans aya sangat berbangga kerana pernah melatihnya. Dia tahu bagaimana untuk melakukan segalanya di atas padang. Saya harap dia dapat memenangi Ballon d’OR ini. Ini waktu yang sesuai untuknya kerana dia sedang berada pada tahap terbaik,” katanya.

Benzema yang kini diberikan peranan sebagai kapten Real selepas Sergio Ramos menyertai Paris Saint-Germain (PSG) sedang berada dalam kemuncak prestasinya pada usia 34 tahun.

Pemain kelahiran Perancis itu telah menjadi tunjang utama di jentera serangan Real dengan menampilkan kecemerlangan menjaringkan sembilan gol dalam lapan perlawanan terakhir buat Los Blancos.

Malah, musim lalu Benzema telah meledak 23 gol dengan purata gol setiap 126.13 minit sekali gus meletakkannya antara peledak berbisa di La Liga.

Benzema juga telah memenangi tiga kejuaraan La Liga dan empat trofi Liga Juara-Juara dalam tempoh 12 tahun bersama Real termasuk cemerlang ketika Zidane menjadi pengendali kelab itu.

Dia juga turut menjadi watak utama buat Perancis dengan membantu negaranya itu memenangi Liga Negara UEFA dengan jaringan menarik ketika menewaskan Sepanyol pada perlawanan akhir.