Hanya lapan keluarga miskin tegar di Putrajaya?

in Nasional by

SHAH ALAM – Pangkalan data Prihatin e-Kasih yang digunakan oleh kerajaan bagi mengenal pasti golongan miskin dan miskin tegar di dalam negara dilihat tidak memberikan gambaran tepat mengenai kemiskinan yang berlaku di Putrajaya.

Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, data sedia itu tidak menunjukkan gambaran sebenar dihadapi oleh penduduk di kawasan berkenaan.

“Dalam pangkalan data Prihatin e-Kasih menunjukkan bahawa terdapat 14,400 miskin tegar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Apa yang lebih mengejutkan ialah cuma 0.05 peratus atau lapan orang sahaja merupakan keluarga miskin tegar di Putrajaya.

“Persoalannya, adakah data terkini ini tepat? Berdasarkan rekod UMNO Bahagian Putrajaya, terdapat lebih 1,000 keluarga miskin tegar dalam Parlimen Putrajaya,” katanya ketika berucap di Dewan Negara pada Isnin.

Mohd Hisamudin berkata, kegagalan untuk mendapatkan maklumat sebenar mengenai keadaan tersebut bakal menjejaskan usaha kerajaan untuk mencapai agenda yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya turut meminta kerajaan supaya meningkatkan jumlah wang sumbangan yang diberikan kepada warga miskin bandar menerusi Bantuan Khas Covid-19 (BKC).

Katanya, jumlah sedia ada yang diperuntukkan sebanyak RM1,300 itu adalah jauh lebih rendah berbanding pendapatan garis kemiskinan purata negara yang berada pada paras RM2,208.00 sebulan.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memperkenalkan semula pengecualian sewa kepada penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) selama enam bulan di kawasan bandar yang merupakan antara kumpulan terkesan teruk ekoran pandemik Covid-19.

“Dengan kehilangan sumber pendapatan dan wang simpanan yang berkurangan, setiap ringgit amat penting untuk golongan miskin bandar supaya mereka mampu membeli keperluan asas seperti makanan.

“Malahan, tempoh pengecualian sewa yang lebih lama pula akan membantu mereka untuk lebih bersedia dalam menghadapi cabaran pandemik ini yang berpanjangan dan tidak menentu.

“Saya amat berharap agar pihak kerajaan dapat mengambil perhatian terhadap isu yang saya bangkitkan ini. Ingatlah majoriti penghuni PPR tidak mempunyai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” katanya.