Julang Piala Thomas kenangan terindah Christie

in Sukan by

PEMAIN perseorangan Indonesia, Jonatan Christie menyifatkan kejayaan membantu negaranya mengakhiri kemarau 19 tahun kejuaraan Piala Thomas sebagai kenangan terindah.

Malah menurut pemain berusia 24 tahun yang tampil berstatus ranking ketujuh dunia, pencapaian tersebut merupakan yang paling bermakna selepas menghadiahkan pingat emas dalam acara perseorangan pada edisi Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

“Ketika berdepan set penentuan saya katakan pada diri, ayuh sekali lagi kita harungi pertarungan 100 minit lagi.

“Saya memberikan motivasi kepada diri kerana set ketiga memberikan lebih keyakinan kepada saya untuk mengharungi 120 minit perlawanan lagi.

“Sejujurnya ini merupakan pencapaian terbesar saya, malah lebih baik semasa meraih pingat emas di Sukan Asia sebelum ini,” ujarnya.

Christie sebelum mara ke final diheret pemain perseorangan dari Denmark, Anders Antonsen ke perlawanan set penentuan selama 100 minit sebelum menjinakkan pemain nombor tiga dunia itu dalam perlawanan separuh akhir yang berakhir kemenangan 3-1 Indonesia.

Pengalaman itu sekali gus memberikan Christie kelebihan apabila berdepan situasi sama ketika melayan Li Shi Feng yang dijinakkan 21-14, 18-21, 21-14 dalam pertarungan 1 jam 22 minit.

Kemenangan Christie itu membolehkan Indonesia mengatasi China 3-0 dalam perlawanan akhir di Ceres Arena, Aarhus, Denmark tersebut.

Pemain perseorangan pertama, Anthony Sinisuka Ginting sebelum itu terlebih dulu membuka gelanggang dengan meletakkan skuad Garuda tersebut di depan dalam aksi 1 jam 17 minit apabila bangkit penuh bergaya dari kekalahan set pertama untuk menewaskan Lu Guang Zu, 18-21, 21-14, 21-16.

Beregu nombor tujuh dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto meneruskan momentum positif Ginting apabila tidak berdepan masalah menundukkan cabaran He Ji Ting-Zhou Hao Dong, 21-12, 21-19 untuk kedudukan selesa 2-0.

Kejayaan skuad Piala Thomas Indonesia tersebut secara tidak langsung menafikan dominasi China yang cemerlang di Kejuaraan Piala Sudirman dan Piala Uber sebelum itu.

Untuk rekod, China sebelum ini merupakan juara edisi Bangkok 2018 setelah menewaskan Jepun 3-1 manakala Indonesia pula merupakan juara edisi Guangzhou 2002 selepas menjinakkan Malaysia 3-2.