Malaysia mahu kerjasama UAE bidang teknologi hijau, pengurusan wakaf

in Nasional by

SHAH ALAM – Malaysia mahu menjalinkan kerjasama dan kolaboratif dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam bidang teknologi hijau, ekonomi dan kewangan termasuk pengurusan wakaf.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, justeru itu Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) amat berbesar hati untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan UAE dan negara lain tentang perkara itu.

Menurutnya, ia seiring dengan usaha negara menjayakan penubuhan Wakaf Masjid Hijau yang membabitkan penglibatan KASA, ‘Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation’ (MGTC) bersama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).

“Melalui penubuhan Wakaf Masjid Hijau ini, KASA berharap ia membantu pihak pengurusan masjid mengakses sumber pembiayaan alternatif yang mudah, cepat dan mampan.

“Ia untuk membiayai projek teknologi hijau kerana berkonsepkan pengumpulan dana awam daripada individu, sektor kerajaan, sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pra-Pelancaran Wakaf Masjid Hijau secara maya di Pavilion Malaysia sempena Ekspo Dubai 2020 di UAE pada Isnin.

Turut menyertai majlis itu adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi YWM, Senator Idris Ahmad; Duta Besar Malaysia ke UAE, Mohd Tarid Suffian dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd Hasril Abdul Hamid.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim memberitahu, langkah itu akan mengurangkan pergantungan kepada perbelanjaan fiskal, malah memberi nilai kepada rakyat untuk mendapatkan pulangan pahala yang berpanjangan.

Menurutnya, dana wakaf yang terkumpul boleh membiayai projek penukaran lampu ‘light-emitting diode’ (LED), penukaran kepada kipas dan alat pendingin udara cekap tenaga, pemasangan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH), penukaran kepada pili cekap air dan sebagainya.

Katanya, inisiatif Wakaf Masjid Hijau turut menjadi antara pemacu utama yang dikenal pasti untuk melibatkan komuniti dalam inisiatif bandar rendah karbon.

“Penglibatan komuniti setempat akan membantu pihak pengurusan masjid untuk meningkatkan tahap kecekapan tenaga dan air, mengurus sisa dan seterusnya membantu mengurangkan kos operasi masjid.

“Secara tidak langsung, ia juga menyokong usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) merealisasikan aspirasi ke arah bandar rendah karbon pada 2030,” katanya.

Inisiatif Wakaf Masjid Hijau juga menjadi kesinambungan program Rumah Ibadat Hijau yang dilancarkan KASA dan MGTC pada 25 September tahun lalu.

Objektif program berkenaan adalah untuk menjadikan rumah ibadat sebagai pemangkin kelestarian alam sekitar khususnya dalam memupuk budaya gaya hidup hijau dalam kalangan ahli kariah.

Selain itu, masjid juga dijadikan model bangunan komuniti yang cekap tenaga, cekap air, mesra alam dan rendah karbon di kawasan setempat yang menekankan kepada empat elemen hijau iaitu penjimatan tenaga elektrik, penjimatan air, penggalakan pembelian dan penggunaan produk hijau serta pengurusan sisa buangan.

Bagaimanapun, pelaksanaan projek teknologi hijau di masjid seperti penukaran alatan elektrik cekap tenaga dan pemasangan solar memerlukan dana yang mencukupi yang mencetuskan idea penubuhan Wakaf Masjid Hijau berkenaan.

Justeru itu, Tuan Ibrahim berkata, penyertaan Malaysia di Ekspo Dubai 2020 Dubai antara lain adalah untuk meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan UAE serta negara-negara lain.

“Insya-ALLAH, selepas Wakaf Masjid Hijau berjaya di Malaysia, kita bertekad untuk mengarusperdanakan konsep pengimarahan masjid, kemampanan wakaf dan kelestarian alam di seluruh dunia,” katanya.