OIC kutuk serangan keganasan di masjid Afghanistan

in Global by

KUALA LUMPUR – Sekretariat Umum Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam sekeras-kerasnya pengeboman bunuh diri yang menyasarkan sebuah masjid di bandar Kandahar, selatan Afghanistan, Jumaat lepas yang mengorbankan puluhan jemaah.

Menurut kenyataan Sekretariat Jeneral yang berpusat di Jeddah itu, pihaknya mengutuk serangan kejam itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa serta berharap mereka yang cedera segera sembuh.

OIC turut menegaskan pendiriannya bahawa apa jua tindakan keganasan adalah jenayah dan tidak boleh diterima walau dengan apa alasan sekali pun.

Insiden ketika solat Jumaat itu adalah yang ketiga berlaku pada Oktober. Kejadian pertama pada 3 Oktober 2021 di Masjid Eid Gah di Kabul, mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang. Lima hari kemudian, satu lagi kejadian pengeboman bunuh diri berlaku di sebuah masjid di Kunduz yang meragut lebih 80 nyawa. – Bernama