Pergerakan penumpang domestik MAHB melonjak 74 peratus

in Bisnes by

KUALA LUMPUR – Pergerakan penumpang domestik yang dicatatkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melonjak 74 peratus pada September daripada angka pada bulan sebelumnya, dipacu oleh kejayaan gelembung pelancongan Langkawi serta kemajuan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

MAHB dalam kenyataan pada Isnin menjelaskan jumlah pergerakan penumpang bagi Malaysia meningkat 55 peratus kepada 458,000 penumpang bulan lepas.

“Pergerakan pesawat domestik meningkat kira-kira 20 peratus bulan lepas serta berbanding dengan Ogos, mencatatkan lebih 10,000 penerbangan. MAHB optimis bahawa aliran perjalanan yang menggalakkan akan terus berlanjutan dengan Perintah Kawalan Pergerakan antara negeri dan sekatan perjalanan antarabangsa ditarik balik,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, MAHB mencatatkan pergerakan penumpang berjumlah 37,000 semasa pelaksanaan awal gelembung pelancongan Langkawi pada 16 hingga 29 September 2021.

“Syarikat penerbangan tempatan juga meraih manfaat daripadanya apabila AirAsia mencatatkan pergerakan pesawat terbanyak dengan 176 penerbangan dan menguasai faktor tempat duduk purata pada 64 peratus bagi tempoh yang sama.

“Aliran meningkat ini didorong lagi dengan penarikan balik Perintah Kawalan Pergerakan bagi perjalanan antara negeri bulan ini, kecuali yang masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD),” kata kenyataan itu.

Sementara itu, bagi aset di Turki, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (ISG) di Istanbul merekodkan 2.7 juta pergerakan penumpang pada September, kekal sebagai penyumbang utama kepada jumlah pergerakan penumpang MAHB sebanyak 3.2 juta penumpang bulan lepas.

“ISG terus menunjukkan pemulihan yang kukuh, dipacu oleh kadar pemberian vaksin yang pesat dan kelonggaran sekatan sempadan di Eropah. Turki, yang menjadi antara negara teratas dari segi akses kepada vaksin, mengunjurkan negaranya mencapai kadar vaksinasi yang tinggi seterusnya mencapai imuniti awam pada akhir 2021.

“Tidak hanya 74.5 peratus daripada jumlah penduduknya telah menerima suntikan vaksin malah Turki akan melaksanakan pengeluaran besar-besaran vaksin Covid-19 yang dibangunkannya sendiri, Turkovac, bulan ini sekali gus menggiatkan lagi usahanya untuk kembali normal,” kata kenyataan itu.

Mengenai operasi kargo, MAHB menjelaskan pihaknya menerima kehadiran China Central Longhao Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bulan lepas.

Ini memandangkan MAHB, selaku pengendali lapangan terbang terus mengakui kepentingan pertambahan kargo udara dalam landskap penerbangan tempatan, terutama apabia kesan buruk pandemik melanda industri.

“Pengangkut kargo China itu menawarkan perkhidmatan bagi laluan Shenzhen-Kuala Lumpur dengan penerbangan tiga kali seminggu,” kata kenyataan itu.

Menurut MAHB, jumlah operasi kargo yang direkodkan pihaknya sehingga September menyaksikan peningkatan 24 peratus daripada sekitar 726,800 tan pada tempoh yang sama tahun lepas.

“Ia kekal menjadi pemangkin penting untuk pemulihan ekonomi dan penerbangan,” kata kenyataan itu. – Bernama