SEAGF putuskan Sukan SEA ke-31 dianjurkan Mei tahun depan

in Sukan by

TEKA-TEKI mengenai status penganjuran Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam akhirnya terjawab apabila temasya dwitahunan itu sah bakal dianjurkan pada Mei 2022.

Namun, Jawatankuasa Olimpik Vietnam (VOC) akan hanya menetapkan tempoh spesifik penganjuran temasya berkenaan pada penghujung bulan ini selepas mendapat pengesahan daripada kerajaan Vietnam.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Pejabat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) secara dalam talian yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Chaiyapak Siriwat.

“Kita beranggapan bahawa kita sudah sampai ke peringkat certainty (kepastian) dan keputusan yang muktamad terhadap pelaksanaan Sukan SEA.

Kita ucapkan terima kasih kepada Vietnam kerana kembali dengan satu kepastian mengenai waktu penganjuran iaitu pada Mei 2022,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat itu di Wisma OCM di sini pada Isnin.

Julai lepas, SEAGF mengesahkan temasya Sukan SEA ke-31, ang dijadualkan berlangsung pada 21 November hingga 2 Disember ini ditunda ke tahun hadapan berikutan situasi pandemik Covid-19.

Sementara itu, Mohamad Norza berharap pengesahan itu dapat memberi kelegaan kepada barisan atlet dan pegawai sukan terlibat yang sebelum ini ‘terperangkap’ dalam dilema untuk melakukan persediaan susulan waktu penganjuran temasya yang baharu belum ditetapkan.

Beliau berkata, dengan tempoh yang singkat menjelang temasya itu, tumpuan kini dari aspek persediaan atlet dan Mohamad Norza turut meminta Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA untuk memulakan mesyuarat bagi membincangkan soal pembahagian atlet yang akan bertanding.

“Semua sedia maklum 2022 merupakan tahun sangat sibuk dengan temasya sukan besar seperti Sukan Komanwel yang dijadualkan pada pertengahan 2022, Sukan Asia pada November,” katanya sambil menyarankan persatuan sukan kebangsaan terlibat supaya bersedia seawal mungkin.

Mohamad Norza mengakui dalam keadaan mencabar untuk mempersiapkan atlet terdapat kemungkinan berlakunya pilih kasih atau berat sebelah dalam proses pemilihan atlet, namun tegasnya perkara itu tidak seharusnya terjadi. – Bernama