BeDaie bantu 3,000 mualaf dalami pengajian Islam

in Edisi by

KOTA BHARU – Madrasah pengajian Islam digital pertama di Malaysia, BeDaie tampil membantu 3,000 mualaf di seluruh negara dalam mendalami ilmu agama menerusi pembelajaran dalam talian.

Usaha dilakukan dengan kerjasama Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-dua pihak pada Selasa.

Pengasas BeDaie, Muhammad Amar Mirza Abd Kadir Jailani berkata, pihaknya akan membantu golongan itu untuk mendalami dan mempelajari Islam menerusi penajaan yuran pengajian dengan pengurangan sebanyak 96 peratus.

Beliau berkata, projek perintis kerjasama itu bermula dengan 300 mualaf dari Kelantan menerusi pengurangan yuran pengajian sebanyak RM250 untuk tempoh pengajian selama dua tahun.

“Yuran asal untuk penyertaan pengajian di BeDaie berjumlah RM250 sebulan dengan tempoh pengajian selama setahun, namun khas buat mualaf, sebahagian yuran ditaja pihak BeDaie dan dikurangkan kepada RM250 sahaja untuk keseluruhan pengajian selama dua tahun.

“Tempoh pengajian lebih panjang selama dua tahun berbanding setahun bagi pelajar biasa dan bukan mualaf itu bertujuan memberi ruang kepada saudara baharu membiasakan diri dan mengenal agama Islam perlahan-lahan,” katanya ketika ditemui di Pejabat Macma di Taman Maju di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas Majlis MoU antara BeDaie dengan Macma yang diwakili Naib Presiden Macma, Dr Johari Yap.

Ujar Muhammad Amar Mirza, keseluruhan pembiayaan yang diperlukan untuk 3,000 mualaf ialah sebanyak RM750,000 dan pihaknya memerlukan dana bagi tujuan itu.

“Kos-kos ini adalah untuk membayar tenaga pengajar BeDaie dan memberi ruang kepada pihak yang ingin turut sama membantu para mualaf dalam mendalami ilmu agama.

“Selain memberi bantuan pengajian di BeDaie, pihak kami juga akan menjalankan aktiviti lain secara bersama dengan Macma dalam usaha membantu saudara yang baru memeluk agama Islam,” katanya.

Tambah beliau, BeDaie kini diperluaskan ke sembilan negara dan mempunyai lima bahasa termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin, Urdu dan Bahasa Arab.