Contohi akhlak, kepimpinan Nabi Muhammad SAW: Anwar

in Nasional by

KUALA LUMPUR – Keperibadian Nabi Muhammad SAW yang juga merupakan manusia biasa menjadi bukti bahawa sesebuah kepimpinan itu mampu diterajui dengan baik apabila ia berpandukan akhlak seseorang individu.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedudukan Nabi Muhammad pada suatu ketika dahulu jelas menunjukkan Baginda menggalas tanggungjawab yang besar.

“Untuk menyusup ke tengah-tengah masyarakat dan menyampaikan mesej tauhid, menongkah arus norma setempat, serta melancarkan perubahan buat mendobrak sistem jahiliyah yang usang, bukanlah suatu tugas yang mudah untuk diterima oleh sesiapa.

“Namun Nabi Muhammad SAW menyanggupi tugas itu. Justeru di sinilah antara lain, letaknya martabat kemuliaan dan semangat juang Baginda yang tinggi,” katanya sempena perutusan Maulidur Rasul pada Isnin.

Mengulas lanjut, Anwar Ibrahim turut menyentuh mengenai khutbah terakhir Baginda yang mengenepikan soal agama dan bangsa, sebaliknya semua insan mempunyai darjat yang sama.

Justeru katanya, adalah penting untuk menghayati pengorbanan Nabi Muhammad yang juga perlu disusuli dengan tindakan hasil penghayatan terhadap ajaran Baginda. – Awani