Guru bukan Islam terima anugerah tokoh Maulidur Rasul

in Edisi by

MELAKA – Usaha membimbing pelajar menghasilkan video berbentuk dakwah dan kerohanian menjadikan seorang guru bukan Islam dipilih Jawatankuasa Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Melaka sebagai penerima Anugerah Tokoh Abdullah Uraiqith pada tahun ini.

Guru bimbingan dan kaunseling, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, Chan Chin Ho, 41, berkata, sebagai guru, perbezaan agama bukanlah satu penghalang namun menganggap agama itu sebagai titik penyatuan dan perpaduan kaum.

Menurutnya, sebagai guru kaunseling sudah pasti dia perlu prihatin dengan keadaan pelajar terutama mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19 selain menjadi perantaraan penyerahan peranti di bawah program cerdik kepada kira-kira 50 pelajar yang tidak berkemampuan agar mereka tidak tercicir mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Terima kasih atas penghargaan ini oleh kerajaan negeri Melaka.

“Anugerah ini memberikan semangat kepada saya untuk terus membantu pelajar terutama pelajar beragama Islam bagi mengikuti program-program anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM),” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sementara itu pengurus jenazah pesakit Covid-19 Hospital Melaka, Hasnul Hussien,52, menzahirkan rasa terharu kerana diberikan penghargaan menerima Anugerah Abu Thalhah.

Menurutnya, selama lebih 15 tahun menguruskan jenazah, dia mengakui menguruskan jenazah pesakit Covid-19 merupakan satu cabaran besar lebih-lebih lagi perlu memakai perlindungan diri (PPE) dalam bilik kecil dan bahang.

“Bagi saya apa jua kerja dan tugas yang kita lakukan, buatlah seikhlas hati tanpa mengharapkan penghargaan dan sebagainya,” katanya.

Sembilan individu menerima Anugerah Khas Tokoh Maulidur Rasul termasuk Pengerusi Kluster Penguatkuasaan dan Pendakwaan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah Malaysia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Rahimin Bani yang menerima Tokoh Muhamad Al-Fateh manakala bekas Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Sharul Lalli Masduki menerima anugerah Tokoh Umar Abdul Aziz.