Pesawah terbeban kenaikan harga racun

in Edisi by

TANJONG KARANG – Kira-kira 300 pesawah di Kampung Sawah Sempadan di sini, dihimpit masalah kenaikan harga racun dua kali ganda sejak pelaksnaaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Jun lalu.

Pesawah mendakwa kenaikan harga racun itu membebankan berikutan pendapatan mereka terjejas teruk apabila terpaksa membeli racun pada harga jauh lebih tinggi.

Seorang pesawah, Ismail Sakun, 74, berkata, racun lima liter ketika ini dijual sehingga RM300 berbanding hanya RM145 sebelum ini.

“Harga racun lima liter sentiasa meningkat sejak negara dilanda pandemik daripada RM145 naik kepada RM200 dan kemudian meningkat hingga RM300.

“Keadaan ini amat membebankan pesawah, apatah lagi hasil pengeluaran dan pendapatan pesawah terus merosot,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ismail berkata, peniaga racun memaklumkan kepada pesawah terdapat beberapa faktor kenaikan harga racun di pasaran.

“Peniaga memberi alasan kononnya harga racun sentiasa meningkat, jika pesawah tidak beli (racun) hari ini, mungkin minggu depan harga sudah naik.

“Selain itu, alasan peniaga antara lain memaklumkan terdapat peningkatan dari segi kos minyak dan pengangkutan menyebabkan mereka terpaksa menjual racun pada harga jauh lebih mahal,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu sudah tentu membebankan pesawah apatah lagi tanaman padi mereka pada musim ini diserang penyakit ulat batang dan bena perang.

“Saya dimaklumkan ada pesawah yang mengusahakan 0.4 hektar sawah padi hanya mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM600 semusim.

“Bayangkan pesawah terpaksa mengeluarkan belanja bagi pembelian benih, baja, racun dan kos lain,” ujarnya.

Seorang lagi pesawah, Zulkarnain Md Sarif, 47, berkata, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diminta menguatkuasakan akta supaya harga racun diletakkan sebagai barang kawalan.

Katanya, harga racun yang melambung tinggi dianggap tidak munasabah dalam keadaan pesawah dihimpit dengan kos sara hidup semakin tinggi.

“Kenaikan ini membebankan kami dan berharap ada jalan penyelesaian daripada pihak kerajaan bagi membantu pesawah,” katanya.

Seorang pesawah, Mohd Firdaus Ismail, 27, berkata, kerajaan perlu memandang serius perkara itu terutama dalam usaha menarik minat golongan muda menceburi sektor penanaman padi.

Mohd Firdaus memberitahu, golongan muda kebanyakannya terpaksa berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan lain kerana beranggapan bidang ini tidak menjanjikan pendapatan dan masa depan lebih baik.

“Sebab itu, ramai anak muda tidak berminat dalam sektor penanaman padi kerana dibelenggu dengan isu seperti kenaikan harga input pertanian dan sebagainya selain terpaksa mengerah kudrat berpanas setiap hari untuk mengerjakan sawah,” katanya.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjong Karang, Mohd Ruzi Abu Hassan berkata, beliau berharap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dapat membantu pesawah menangani isu kenaikan harga racun.

Katanya, antara cadangan yang boleh dilaksanakan adalah dengan melantik Nafas untuk membekalkan racun pada harga jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

“Kami berharap Nafas dilantik sebagai ejen membekalkan racun kepada pesawah pada harga jauh lebih murah,” katanya.

Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Maruwan Ahmad berkata, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri diminta berganding bahu menyelesaikan kemelut dihadapi pesawah.

Katanya, kerajaan dicadang memberikan bantuan kecemasan kepada pesawah yang mengalami kerugian teruk pada musim tanaman kali ini.

“Penduduk di kampung ini majoritinya bekerja sebagai pesawah dan sudah tentu hasil padi menjadi sumber pendapatan tetap keluarga,” ujarnya.

Sementara itu, EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengawal kenaikan harga racun.

Beliau memberitahu, terdapat banyak rungutan diterima beliau mengenai kenaikan harga racun di pasaran pada ketika ini.

“Penggunaan racun ini belum tentu dapat selesaikan masalah sebab itu kerajaan Selangor menggalakkan pesawah menggunakan cuka kayu sebagai racun organik.

“Kita dapati, sudah ramai pesawah di negeri ini yang menggunakan cuka kayu berjaya menangani isu serangan musuh tanaman dan kerosakan padi tanpa bergantung kepada racun,” katanya.