Ancelotti akui Real Madrid luar biasa

in Sukan by

PENGENDALI Real Madrid, Carlo Ancelotti memuji persembahan luar biasa dalam kalangan pemainnya ketika membelasah Shakhtar Donetsk 5-0 di NSC Olimpiyskiy, dalam aksi kumpulan D saingan Liga Juara-Juara.

Malah Ancelotti menyifatkan kemenangan itu memadamkan kekalahan mengejut gergasi La Liga tersebut kepada Sheriff Tiraspol sebelum ini.

“Persembahan luar biasa diterjemahkan dalam bentuk kemenangan besar, yang tidak disumbangkan individu sebaliknya kerjasama berpasukan.

“Kami bertahan secara lebih tersusun, malah setiap pemain fokus mengikuti arahan taktikal dan peranan masing-masing sejak bermula perlawanan.

“Biarpun lawan cuba menyaingi pada babak kedua, namun gol pendahuluan sebelum itu memberikan motivasi kepada pemain-pemain untuk menambah lagi jaringan,” katanya.

Pada perlawanan itu, anak buah Ancelotti terlebih dulu di depan hasil jaringan sendiri pemain tuan rumah Sergey Kryvtsov pada minit ke-37 untuk mendahului babak pertama.

Babak kedua, pelawat memperkemaskan rentak melebarkan jaringan menerusi Vinicius Junior (51′, 56′), Rodrygo (64′) dan Karim Benzema (92′).

Tiga mata dari laman lawan itu membolehkan Real Madrid menduduki tangga kedua setelah mengumpul enam mata mengekori rapat Sheriff Tiraspol (enam mata) selepas kedua-dua pasukan mengharungi tiga perlawanan.