Bekalan air di Sepang, Kuala Langat pulih

in Edisi by

SHAH ALAM – Bekalan air di 145 kawasan di wilayah Sepang dan 11 kawasan di wilayah Kuala Langat kembali pulih pada Rabu selepas insiden paip pecah berhampiran Simpang 3 LBJ, Kampung Chinchang, Salak Tinggi, Sepang.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan, gangguan bekalan itu pulih sepenuhnya pada jam 7 pagi.

“Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengguna di atas kesabaran dan kerjasama diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Rabu.

Menurut kenyataan sama, pengguna disaran mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman web www.airselangor.com.

“Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sebanyak 145 kawasan di wilayah Sepang dan 11 wilayah Kuala Langat mengalami gangguan air tidak berjadual berikutan kejadian paip pecah berhampiran Simpang 3 LBJ, Kampung Chinchang, Salak Tinggi, Sepang pada Isnin.

Air Selangor telah menutup bekalan air pada jam 9 malam Isnin bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan.