Celcom sedia perkhidmatan 5G

in Bisnes by

CELCOM Axiata Berhad (Celcom) menjalinkan kerjasama eksklusif bersama LG Uplus Corp, syarikat peranti mudah alih Korea Selatan di bawah naungan LG Corporation dan kumpulan media integrasi utama Malaysia, Media Prima Berhad, bagi meneroka potensi kandungan serta perkhidmatan 5G merangkumi teknologi realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR) untuk pengguna Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Idham Nawawi berkata, melalui manfaat teknologi 5G dengan kapasiti rangkaian yang lebih besar, kelajuan lebih pantas dan kadar kependaman lebih rendah, Celcom bersedia membina ekosistem kandungan 5G Malaysia yang memfokuskan hiburan, permainan dalam talian, pendidikan dan produktiviti.

Beliau berkata, kerjasama tersebut memperlihatkan kesungguhan Celcom untuk menyampaikan kandungan dan perkhidmatan 5G yang merangkumi kandungan tempatan dan antarabangsa kepada pengguna Malaysia.

“Celcom telah menjalankan lebih daripada 40 kes kegunaan 5G melibatkan pelbagai sektor industri dan perusahaan untuk membolehkan kami mengkaji dengan lebih baik bagaimana teknologi ini dapat digunapakai sebagai satu penyelesaian, melaksanakan aplikasi digital dan perkhidmatan untuk pengguna.

“Kami percaya kerjasama dengan pelbagai industri penting untuk mencapai kesalinghubungan konvergen,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Naib Presiden Perkhidmatan XR, LG UPlus Corp, Yoon Ho Choi berkata, banyak negara telah mengkomersialkan rangkaian 5G dan mempertingkat peluang dalam memperluas ekosistem tersebut.

Menurut beliau, pihaknya akan memberikan perkhidmatan kandungan 5G berkualiti tinggi kepada lebih ramai pengguna dan membolehkan mereka menikmati kepelbagaian kandungan hiburan yang mewah.

“LG UPlus telah mencipta kegilaan hiburan VR dan AR di Korea Selatan dan kami berharap trend ini akan tiba di Malaysia tidak lama lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali berkata, perkhidmatan 5G sememangnya akan membawa pembaharuan dalam penyediaan kesalinghubungan dan kandungan.

“Ia akan mengubah maklumat dan tahap kecekapan, bukan hanya bagi kediaman malah bagi perniagaan juga,” tambah Rafiq.