Ramai usahawan baharu tersepit, tiada modal pusingan

in Wacana by

SHAH ALAM – Kekurangan modal pusingan menjadi antara kekangan besar yang dihadapi sebahagian besar usahawan baharu khususnya dalam industri kecil dan sederhana (IKS) dalam meneruskan perniagaan mereka.

Pengarah Urusan Mak Cun Jutawan Sdn Bhd, Erma Fatima berkata, bantuan yang disediakan oleh agensi kerajaan kebanyakannya berbentuk barangan atau mesin serta pembungkusan dan tiada bantuan berupa modal pusingan.

Justeru, beliau berkata, ia menjadi masalah besar kepada usahawan untuk memasarkan produk ke pasar raya besar kerana tidak sanggup menunggu bayaran untuk tempoh yang lama memandangkan memerlukan modal untuk komitmen lain.

“Saya berdepan dengan ramai usahawan-usahawan seperti ini yang kita bagi peluang untuk masuk ke dalam pasar raya besar tetapi mereka tidak ada modal pusingan dan tidak ada satu agensi kerajaan yang boleh bantu bagi modal pusingan untuk mereka.

“Seorang usahawan juga harus tahu, dia nak melabur duit atau nak meraih keuntungan dan adakah sasarannya tepat atau tidak? Betul atau tidak? Sekiranya dia ada duit sebanyak itu sahaja, bagaimanakah kita boleh jangka sama ada dia akan keluarkan duit untuk melabur sedangkan ia tidak menjanjikan keuntungan ataupun apa-apa?,” soalnya.

Beliau berkata demikian selaku penalis pada Wacana Sinar edisi ke-299 bertajuk ‘Dari T20 Ke M40: Apa Kesudahannya?’ yang dikendalikan moderator, Ismail Adnan.

Ia turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid dan Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Aminuddin Yahya yang berlangsung di Kompleks Karangkraf, di sini.

Jelas Erma, antara cabaran lain yang dihadapi usahawan baharu adalah persaingan dengan jenama besar yang sudah kukuh di pasaran.

“Berbanding produk luar sedia ada yang sudah ada nama dan hebat penjenamaannya, mereka tidak perlu lagi bersusah payah membuat pemasaran kerana produk dan jenama mereka sudah dikenali.

“Tapi kepada usahawan yang baharu ini, walaupun keuntungan runcit tak banyak tetapi mereka harus fikir tentang keuntungan kerana perlu bayar pekerja, tempat, bahan mentah dan sebagainya. Kita yang baharu tidak mampu nak lawan pemain-pemain besar industri yang sudah ada nama di luar sana,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, pandemik Covid-19 juga memberikan sinar baharu kepada peniaga untuk belajar berniaga secara dalam talian.

“Saya nampak apabila pandemik berlaku, perniagaan dalam talian menjadi tempat untuk menyelamatkan keadaan tetapi tak semua orang tahu bagaimana dan cara yang betul untuk menggunakan ‘online’.

“Peniaga perlukan ilmu yang betul untuk berkecimpung dalam perniagaan secara dalam talian,” ujarnya.