ASNB Wakalah, Waqaf Felda terima watikah pelantikan mutawalli MAIWP

in Nasional by

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyerahkan surat mutawalli kepada dua syarikat iaitu ASNB Wakalah Sdn Bhd (AWSB) dan Waqaf Felda yang akan mengendalikan kutipan serta menguruskan harta wakaf.

Pengerusi MAIWP, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, kebenaran menguruskan wakaf diserahkan di bawah kendalian dua syarikat itu bagi menggalakkan orang ramai berwakaf, sekali gus dapat diuruskan dengan lebih sistematik.

Menurutnya, ia bukan sahaja menguntungkan pembangunan ummah tetapi turut memberi manfaat kepada pemberi wakaf.

“Dua permohonan mutawalli daripada syarikat yang mendapat kelulusan MAIWP iaitu AWSB bagi mengendalikan perkhidmatan Wakaf ASNB dan Waqaf Felda untuk perkhidmatan Wakaf Korporat Felda dijangka meneruskan kelangsungan wakaf MAIWP.

“Kedua-dua kaedah wakaf daripada syarikat berkenaan telah dipersetujui Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan dan ia memberi peluang kepada pelanggan untuk melabur serta terlibat dalam ibadah wakaf,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Mutawalli ASWB dan Waqaf Felda di Dewan Seminar Aras 1 MAIWP di sini pada Khamis.

Pada majlis itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya mewakili MAIWP menyampaikan surat mutawalli kepada Pengerusi ASNB Sdn Bhd, Profesor Dr Mohamad Akram Laldin dan Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abd Satar.

Sementara itu, Mohd Daud berkata, MAIWP turut menubuhkan syarikat baharu iaitu Pusat Wakaf MAIWP Sdn Bhd (PWMSB) bagi merancakkan pengurusan wakaf di Wilayah Persekutuan.

Ujarnya, MAIWP juga memperkenalkan tiga kategori utama untuk setiap mutawalli yang dilantik iaitu Mutawalli Wakaf Pendidikan, Mutawalli Wakaf Unit Amanah, Mutawalli Wakaf Korporat bagi mengurus serta mengembangkan harta wakaf untuk pembangunan masyarakat Islam khususnya.

“Saya mengajak seluruh umat Islam supaya berwakaf bersama MAIWP yang akan memberi pulangan besar bukan sahaja kepada sosioekonomi ummah, malah kepada pewakaf itu sendiri sebagai amal jariah yang berkekalan,” katanya.