Kelantan minta pembinaan 67 menara telekomunikasi dipercepatkan

in Nasional by

KOTA BHARU – Kelantan mahu projek pembangunan 67 menara telekomunikasi di bawah pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) di negeri itu lebih cepat dilaksanakan berbanding jangkaan asal tempoh siap iaitu pada 2023.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, hal itu sejajar dengan peningkatan keperluan rakyat terhadap industri teknologi digital pada masa kini terutama semasa tempoh pandemik.

Katanya, peruntukan dana lebih RM700 juta daripada Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) bagi menyediakan kemudahan internet pantas itu turut ditambah kepada RM1 bilion oleh pihak kerajaan.

“Kerajaan Kelantan memohon supaya projek pembinaan menara telekomunikasi itu dipercepatkan dan diterima baik oleh pihak Jendela.

“Ketika Covid-19 ini, betapa pentingnya internet terutama untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), begitu juga pembinaan kabel elektrik yang mahu dipercepatkan dan ia akan dipertimbangkan oleh Jendela,” katanya kepada pemberita di Pejabat Menteri Besar di Kompleks Darulnaim, di sini, pada Khamis.

Beliau sebelum itu menyampaikan sumbangan dua mesin ventilator atau alat bantuan pernafasan bernilai RM129,000 bagi kegunaan pesakit Covid-19 di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM).

Hadir sama, Penyelaras Strategi Penjanaan Hospital USM (Unit Pembangunan Korporat), Dr Mohamad Ibariyah Iberahim.

Kata beliau, projek menyediakan kemudahan internet pantas ini memerlukan peruntukan besar dan diberikan tumpuan di kawasan luar bandar bagi mengurangkan jurang digital.

“Kerja-kerja dijalankan oleh dua syarikat yang dilantik di kawasan strategik di keseluruhan negeri Kelantan.

“Kami memohon supaya pembinaan menara telekomunikasi ini dipercepatkan untuk liputan yang lebih baik dari masa ke semasa daripada tempoh asal dijangka siap keseluruhan pada 2023,” katanya.

Sehingga Ogos lalu, sebanyak 24 menara telekomunikasi siap dibina di bawah Fasa Satu Jendela sekali gus memanfaatkan 21,867 pengguna di Kelantan.

Fasa itu melibatkan pemasangan 408 peralatan 4G dan pemasangan 18 jalur lebar satelit di Gua Musang (Hulu Kelantan) agar seluruh rakyat Kelantan mendapat akses internet berkualiti.