Tangguh ratifikasi CPTPP, fokus pulih ekonomi negara: Gabungan

in Nasional by

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menangguhkan proses meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dengan memberi tumpuan terhadap usaha memulihkan ekonomi negara.

Jurucakap dan Koordinator Gabungan Melayu (Gabungan), Yazid Othman berkata, tindakan tergesa-gesa meratifikasi perjanjian perdagangan bebas itu bakal membataskan ruang kerajaan untuk merencanakan dasar dan polisi berkesan bagi membangunkan semula ekonomi negara dan usahawan tempatan yang terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19.

Beliau berkata, ini kerana CPTPP dilihat bakal membawa implikasi perundangan yang menurutnya akan turut melibatkan dasar dan peraturan berkaitan bumiputera termasuk dalam sektor perolehan kerajaan.

Katanya, CPTPP juga dilihat cuma memberikan kebaikan terhadap industri eksport negara dan bukannya kepada perusahaan mikro, sederhana dan kecil (PMKS) tempatan dan agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera.

“Sehingga hari ini kerajaan masih gagal menunjukkan bukti jelas ataupun kajian yang menunjukkan kelebihan CPTPP kepada ekonomi negara kecuali yang kita jangka adalah lambakan barangan import yang akan menindas PMKS.

“Ia akan menindas PMKS tempatan dengan lambakan produk negara luar khususnya dalam fasa pemulihan ekonomi ketika ini yang mana kita sepatutnya lebih melindungi industri tempatan,” katanya ketika sidang akhbar khas ‘CPTPP: Jangan Khianati Rakyat Dengan Meratifikasi CPTPP’ di sini pada Khamis.

Pada 20 September lalu, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan bahawa Malaysia akan meratifikasi CPTPP dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong pada 13 Oktober lalu turut memaklumkan kerajaan telah mempergiatkan usaha bagi melengkapkan pindaan ke atas akta-akta yang berkaitan bagi membolehkan Malaysia meratifikasikan CPTPP.

11 Negara yang telah menandatangani CPTPP adalah Malaysia, Jepun, Australia, New Zealand, Singapura, Brunei, Vietnam, Chile, Kanada, Mexico dan Peru dengan tiga daripadanya iaitu Malaysia, Brunei dan Chile masih belum melakukan proses ratifikasi.

Mengulas lanjut, Yazid yang juga Felo Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berkata, pembukaan meluas ekonomi negara melalui perjanjian tersebut dijangka turut memberi kesan kepada sektor korporat, kesihatan dan pertanian negara.

Menurutnya, tindakan meratifikasi CPTPP itu juga bakal menjejaskan usaha untuk mencapai agenda bumiputera yang diunjurkan melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

“Mengikut unjuran dalam WKB2030, bumiputera perlu menghasilkan sumbangan Keluaran Dalam Negara (KDNK) sebanyak RM680 bilion.

“Jadi kalau kita dah kekang cara kita buat polisi yang akan memungkinkan pertumbuhan ekonomi bumiputera, macam mana kita nak buat dasar baharu yang segar jika kita dah kekang awal dengan perjanjian ini,” ujarnya

Menurut Gabungan yang melibatkan lebih 100 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu itu, menerusi CPTPP, dasar sedia ada yang memperuntukkan 60 peratus kontrak perolehan bekalan dan binaan kerajaan kepada bumiputera akan dihadkan kepada 30 peratus dengan selebihnya akan direbut bersama dengan kontraktor asing.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Mahmud Hishamuddin berkata, kerajaan perlu lebih realistik sebelum membenarkan industri PKMS negara bersaing dengan syarikat luar negara.

“Saya nak tanya, adakah tahap kompetitif kita (PMKS) ini secara realitinya sama taraf dengan Korea dan Jepun ? Jadi kalau tidak, betulkan dahulu perkara ini sebelum kita nak melangkah ke depan,” ujarnya.