‘Covid-19 tetap akan ada, cuma angka dijangkiti rendah’

in Khas by

SHAH ALAM – Virus Covid-19 tetap berada di komuniti tetapi angka mereka yang dijangkiti akan jauh lebih rendah, kata bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, ia merupakan hakikat apabila negara ini bergerak ke transisi daripada pandemik ke endemik.

“Kes Delta ini sangat mencabar. Oleh kerana itu, meskipun kita telah lengkap vaksin dan berusaha untuk mengamalkan prosedur operasi standard (SOP), kita perlu tahu seperti mana yang berlaku di Israel dan Singapura kita akan berterusan menyaksikan outbreak (wabak) seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian edisi ke-300 yang bertajuk ‘Belanjawan 2022: Halatuju Kesihatan dan Pendidikan Negara’ pada Khamis.

Turut menjadi panelis, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Ismail sebelum itu bertanyakan mengenai wujudnya pihak tertentu yang mempersoalkan mengapa masih ada lagi peningkatan kes Covid-19 walaupun telah divaksin dan menggoyahkan keberkesanan vaksin.

Dr Dzulkefly menambah, apa yang perlu dielakkan adalah perebakan dan penularan Covid-19 dalam kalangan komuniti.

“Pastikan mengurus keberadaan kita dengan (mengamalkan) SOP,” jelasnya.

Selain itu, beliau menambah, apa yang paling penting adalah penggunaan kit ujian kendiri dalam kalangan rakyat.

“Alat ujian kendiri ini sangat memperkasakan rakyat. Kalau kita bergejala sedikit, kita buat ujian.

“Kalau positif kita duduk di rumah dan kalau kita negatif kita teruskan kegiatan harian. Itu sangat penting untuk memperkasakan rakyat agar benar-benar jujur dan mengambil tindakan yang wajar,” jelasnya.