Indeks Pelopor pulih, ekonomi negara semakin positif

in Bisnes by

PRESTASI Indeks Pelopor (IP) Malaysia bagi Ogos 2021 mereda kepada 106.2 mata dan menjadi pertumbuhan negatif yang lebih baik pada 2.3 peratus daripada negatif 4.0 peratus pada Julai 2021, berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

IP merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Menerusi kenyataan pada Jumaat, DOSM menjelaskan ini sekali gus menunjukkan ekonomi Malaysia berkemungkinan besar semakin baik pada bulan-bulan berikutnya.

“Dengan mengambil kira prestasi IP yang lebih baik dan peralihan lebih banyak negeri di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), ekonomi negara berkemungkinan besar semakin baik pada bulan-bulan berikutnya.

“Selain itu, prospek pembangunan ekonomi yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 akan memacu pemulihan ekonomi melalui agenda jangka panjang global dan nasional sepanjang 2021 sehingga 2025,” menurutnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan IP itu dipengaruhi terutama oleh kemerosotan bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan berikutan pasaran hartanah yang mencabar dan sentimen pesimis dalam kalangan pelabur semasa pandemik.

“Bagi perbandingan bulanan, IP meningkat sebanyak 1.1 peratus dengan kebanyakan komponen mencatatkan pertumbuhan positif terutamanya didorong oleh kenaikan dalam Jangkaan Nilai Jualan di sektor pembuatan pada 1.3 peratus,” katanya.

Indeks Serentak (IS) yang mencerminkan prestasi aktiviti ekonomi semasa pula turun 1.6 peratus pada Ogos 2021 berbanding negatif 5.2 peratus pada Julai 2021, jelas jabatan itu.

Ia menambah, bagaimanapun trend penurunan adalah lebih baik.

“Ia merekodkan 108.2 mata berbanding 110.0 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Dari segi bulan ke bulan, IS meningkat 4.2 peratus pada Ogos 2021.

“Kapasiti penggunaan di sektor pembuatan (2.9 peratus) dan Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (0.9 peratus) adalah penyumbang utama kepada peningkatan,” tambah DOSM. – Bernama