Lebih 1,000 baucar pelancongan Selangor sudah ditebus

in Edisi by

SHAH ALAM – Lebih 1,000 pakej dan Baucar Pelancongan Selangor 2.0 telah ditebus oleh orang ramai menerusi aplikasi beli-belah Shopee bermula jam 12 tengah malam pada Jumaat.

Menerusi ciapan di laman Twitter, Tourism Selangor memaklumkan sebanyak 10,000 baucar ‘Pusing Selangor Dulu’ bernilai RM100 setiap satu ditawarkan kepada orang ramai bagi tempoh sehingga 31 Disember ini.

Tourism Selangor berkata, tempoh sah guna baucar berkenaan adalah sehingga 30 Jun tahun hadapan dengan melibatkan 170 pakej pelancongan menarik.

“Rakyat Malaysia berusia 18 tahun layak untuk menebus baucar ini yang terhad kepada satu transaksi menerusi Shopee-Pay.

“Baucar berkenaan tidak boleh diganti dengan produk lain dan ia akan dihentikan selepas tempoh kempen berakhir,” katanya.

Menerusi Baucar Pelancongan Negeri Selangor 1.0, kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta yang diagihkan kepada umum pada Januari lalu melalui Lazada dan Touch ‘n Go eWallet.

Pada 18 Disember tahun lalu, Selangor melancarkan program Penebusan Subsidi Baucar Pelancongan bernilai RM200 setiap satu membabitkan 10,000 baucar untuk menginap di hotel dan inap desa berlesen serta taman tema.