Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan di Melaka 13 November depan

in Politik by

KOTA BHARU – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan mengadakan Persidangan Perwakilan Nasional parti itu di Melaka pada 13 November depan selari dengan usaha gerak kerja yang dirancang untuk membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, pada awalnya persidangan berkenaan dirancang dilaksanakan di Pulau Pinang pada tarikh yang sama.

“Memandangkan kita juga akan turun ke Melaka untuk sama-sama berkempen, lebih baik kita buat di Melaka,” katanya pad sidang media sebelum Persidangan Perwakilan Parti Gerakan Peringkat Negeri Kelantan yang dilakukan melalui hibrid pada Jumaat.

Persidangan melibatkan lebih 70 perwakilan itu dibuat secara hibrid bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

Ketika ditanya mengenai persediaan PRN Melaka, Dominic memberitahu, sejak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh PRN, parti itu telah mengadakan beberapa mesyuarat di semua peringkat bagi merancang persediaan awal untuk berada di Melaka.

Katanya, Gerakan juga telah menubuhkan jentera untuk membantu sehingga ke peringkat akar umbi selain membawa calon yang pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU13) untuk berkempen.

Bagaimanapun kata Dominic, pengumuman jumlah kerusi yang akan ditandingi di Melaka diserahkan kepada Perikatan Nasional (PN).

Dalam perkembangan lain, Dominic turut memaklumkan parti itu akan membantu kerajaan Kelantan menyampaikan mesej untuk meningkatkan kesedaran pengambilan vaksinasi Covid-19 kerana jumlah penduduk yang enggan divaksin membimbangkan.

“Kita harap usaha ini akan membantu membuka minda mereka terutama antivaksin untuk berubah fikiran. Kerjasama ini akan melibatkan Gerakan di seluruh negara,” katanya.