Sidang maya perkukuh hubungan bilateral TDM, Tentera Darat India

in Nasional by

KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) memperkukuhkan lagi hubungan bilateral bersama Tentera Darat India menerusi persidangan maya kepimpinan tertinggi kedua-dua angkatan tentera pada Khamis.

TDM dalam satu kenyataan berkata, persidangan tersebut menyaksikan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain saling bertukar pendapat dan berkongsi idea bersama Panglima Tentera Darat India, Jeneral Manoj Mukund Naravane.

Menurutnya, isu utama yang dibincangkan dalam sidang video berkenaan menyentuh perkembangan semasa penularan wabak Covid-19 di kedua-dua negara dan kerjasama ketenteraan.

“Kedua-dua pemimpin membincangkan usaha penambahbaikan kerjasama ketenteraan meliputi latihan bersama, lawatan rasmi, rancangan pertukaran kursus dan pegawai serta lawatan pertukaran Subject Matter Expert (SME) antara kedua-dua tentera darat.

“Zamrose turut berkongsi maklumat berkenaan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), yang turut melibatkan pemberian vaksin untuk warga dan keluarga TDM,” menurut kenyataan di Facebook rasmi TDM pada Khamis.

Dalam pada itu, Zamros turut menyampaikan jemputan kepada Tentera India untuk menghadiri pameran ketenteraan Defence Service Asia (DSA) 2022 yang akan berlangsung di Malaysia.

Menurut TDM, persidangan antara kepimpinan tertinggi kedua-dua angkatan tentera darat tersebut sejajar dengan usaha mereka dalam mengukuhkan kerjasama pertahanan serantau dan antarabangsa.

“Persidangan ini sejajar dengan Tonggak Keempat Perintah Ulung Panglima Tentera Darat iaitu ‘pengukuhan hubungan pertahanan’ yang memberi penekanan kepada pengukuhan kerjasama pertahanan peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.