Surat arahan kerja projek Jendela dikeluarkan minggu hadapan

in Nasional by

KUCHING – Surat arahan kerja bagi pelaksanaan projek dalam Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk pembinaan menara-menara telekomunikasi baharu di seluruh negara, akan mula dikeluarkan minggu hadapan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, selain itu menerusi projek berkenaan, kerja menaik taraf menara sedia ada juga akan dilakukan.

“Kita akan mula ‘roll out’ minggu hadapan untuk kerja-kerja Jendela bahagian satu, dua dan tiga di seluruh negara, tetapi sebahagian besarnya adalah di negeri Sarawak dengan 749 menara baharu akan dibina,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini pada Jumaat.

Beliau menyasarkan kerja-kerja berkenaan dijangka siap penghujung tahun hadapan dengan Sarawak menerima peruntukan tertinggi berjumlah RM4.09 billion dalam projek Jendela ini, yang akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

“Saya sendiri beri jaminan akan berikan tumpuan istimewa untuk Sarawak, kerana kerajaan negeri mempunyai rancangan yang sangat baik untuk rakyat,” katanya.

Annuar turut menyifatkan rancangan kerajaan Sarawak dalam membangun dan meningkatkan tahap capaian di negeri itu sebagai ‘Forward Thinking’, kerana bersifat menyeluruh dan akan dapat dinikmati setiap lapisan masyarakat di negeri ini. – Bernama