Wakil media di Labuan terima suntikan vaksin dos penggalak

in Edisi by

LABUAN – Senator Datuk Bashir Alias dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli pada Jumaat mengetuai kumpulan barisan hadapan bukan kesihatan dan pengamal media menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19.

Sebelum itu, suntikan yang sama juga diberikan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah dan Pengerusi Pasukan Petugas Khas Imuninasi Covid-19 Labuan, Rithuan Ismail di Klinik Kesihatan Membedai di sini.

Sekurang-kurangnya 2,500 petugas barisan hadapan bukan kesihatan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan, anggota penguatkuasaan, polis, dan media tempatan akan diberikan suntikan itu sebelum ia diberikan kepada 16,000 individu dengan komorbiditi.

Ketua Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, fasa pertama suntikan dos penggalak itu telah dilancarkan pada 4 Oktober, dengan 1,290 petugas kesihatan menerima suntikan masing-masing.

“Lebih daripada 20,000 individu akan menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 di bawah tiga fasa dan kami menjangkakan akan melengkapkannya pada akhir tahun ini atau awal tahun hadapan,” katanya dan menambah suntikan dos tambahan akan juga boleh didapati di klinik swasta menerusi janji temu. – Bernama