Arsenal terus kekal rentak positif

in Sukan by

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta gembira dengan persembahan para pemainnya yang menampilkan aksi dominan dalam kemenangan 3-1 ke atas Aston Villa dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates pada awal pagi Sabtu.

“Cara kami memulakan perlawanan dan cara kami meneruskannya adalah sangat baik. Kami menyerang mereka secara agresif, kreatif dan memberikan ancaman. Saya amat bangga dengan pasukan dan mereka bermain dengan sangat baik.

“Ini adalah cara kami bermain. Ini adalah contoh apabila kami bermain dengan baik, bermain dengan penuh keyakinan, komitmen dan mempunyai idea yang jelas bagaimana menyerang mereka. Kami sangat rapat sebagai satu pasukan dan mempunyai pemain yang bagus,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Thomas Partey, Pierre Emerick Aubameyang dan Emile Smith Rowe masing-masing meledak satu gol buat Arsenal manakala gol saguhati Aston Villa dijaringkan oleh Jacob Ramsey.

Kemenangan itu meneruskan rentak cemerlang The Gunners apabila belum tewas dalam tujuh perlawanan terakhir dalam semua kejohanan yang disertai mereka.

Dalam pada itu, Arteta turut memuji persembahan Smith Rowe yang meledak satu gol dan turut menyumbang satu bantuan gol kepada Partey dalam perlawanan tersebut.

“Emile sangat menakjubkan. Dia menjaringkan gol tetapi saya merasakan ia lebih daripada mengenai pasukan hari ini. Menjaringkan gol perlu menjadi satu habit kepada pemain dan Emile mampu melakukannya.

“Pada perlawanan sebelum ini menentang Crystal Palace, dia tidak 100 peratus cergas namun dia tetap mahu bermain walaupun mengalami kecederaan.

“Dia mengubah banyak perkara dalam kariernya dan saya rasa ia sangat bagus. Itu sebabnya kenapa kami mahu menyimpannya dan gembira dengannya,” katanya.