Bajet Selangor 2022: Peruntukan sektor kesihatan dijangka kekal

in Edisi by

PUCHONG – Peruntukan terhadap sektor kesihatan di negeri Selangor dijangka dikekalkan dalam Bajet Selangor 2022 memandangkan negara masih ‘berperang’ dengan pandemik Covid-19.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, perkara itu juga sudah dibincangkan secara tidak rasmi.

Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM56.5 juta dalam Bajet Selangor 2021 di saat penularan wabak Covid-19 dan jumlah sama dijangka dikekalkan bagi 2022.

“Untuk kesihatan, kami dimaklumkan tidak ada potongan, maknanya kami boleh kekalkan bajet untuk kesihatan awam berbanding portfolio lain yang difahamkan ada potongan untuk tahun hadapan.

“Bajet keseluruhan untuk kesihatan awam dijangka berjumlah RM56 juta dan sebahagian besarnya untuk meneruskan Program Selangor Mental Sihat (Sehat), RM14 juta untuk rawatan rakyat ke klinik dan bakinya untuk perlaksanaan program-program, tetapi ini tidak termasuk peruntukan untuk Skim Peduli Sihat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Serdang ditemui Sinar Harian selepas melancarkan Modul Psikologi Positif Sehat sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia di Seri Aman di sini pada Sabtu.