Dua kampung diisytihar kampung pelancongan Terengganu

in Edisi by

SETIU – Dua buah kampung di Setiu iaitu Kampung Mangkuk dan Kampung Penarik diisytiharkan sebagai sebagai kampung pelancongan pertama Terengganu.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pengiktirafan itu diberi memandangkan dua kampung berkenaan sehingga kini masih mengekalkan identiti perkampungan nelayan tradisional.

“Kedua-dua kampung ini merupakan model perkampungan nelayan tradisional kerana memiliki pelbagai seni, budaya dan warisan seperti kraftangan, makanan tradisi selain menjadi lokasi pendaratan tuntung laut dan penyu.

“Penubuhan komuniti pelancongan Pancaran Delima di sini juga bakal menarik pengunjung untuk melihat secara dekat setiap keunikan yang ditawarkan di kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pengisytiharan Kampung Pelancongan Terengganu di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Pelancongan negeri, Fadli Yusof Zakaria.

Dalam pada itu, Ariffin berkata, pengiktirafan yang diberikan membolehkan destinasi pelancongan popular itu disenarai pendek sebagai Kampung Pelancongan Terbaik bersama Miso Walai di Sabah dan Kampung Bario, Sarawak di bawah program Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

“Kampung Mangkuk dan Kampung Penarik menjadi lokasi tumpuan ramai terutama videografi dan fotografi kerana memiliki pelbagai produk pelancongan serta hiliran yang diusahakan komuniti setempat.

“Ia sekaligus dapat memberikan pulangan ekonomi secara langsung kepada peningkatan taraf sosioekonomi penduduk tempatan yang bergantung kepada industri pelancongan negeri sebagai sumber pendapatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ariffin berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengambil inisiatif mewujudkan kawasan pantai selamat kepada pengunjung.

“Kerajaan negeri dengan kerjasama APM juga turut mengambil inisiatif mewujudkan kawasan mandian pantai yang selamat kepada pengunjung dengan kawalan keselamatan sepanjang masa, ” katanya.

Antara keunikan di kampung ini ialah demonstrasi pembuatan makanan tradisi seperti sata di samping pakej menyusuri sungai, melihat keindahan seni bina Melayu di resort, Terrapuri Heritage Village, program konservasi tuntung laut, Rumah Botol serta aktiviti mencari lokan dan kepah.

Ariffin sebelum itu menyerahkan replika cek bernilai RM100,000 kepada Pegawai Daerah, Rosli Latif bagi pelaksanaan program pengindahan produk pelancongan Setiu.