Felcra sedia peluang kerjaya ladang

in Nasional by

SHAH ALAM – Felcra Berhad (Felcra) telah memperkenalkan Program Pembangunan Modal Insan Tempatan bagi jawatan seperti operator penuaian, penoreh dan pemandu jentera ladang bagi tujuan menyediakan peluang peningkatan kerjaya dalam sektor perladangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Felcra, Datuk Mat Roni Zakaria berkata, usaha itu juga bertujuan memastikan peningkatan kemahiran individu yang berpotensi dapat dilakukan secara berkala.

Menurut beliau, untuk menarik minat lebih ramai warga tempatan bekerja dalam sektor tersebut, pihaknya turut memperkenalkan elaun dan insentif yang kompetitif terutama kepada kumpulan yang kehilangan kerja atau punca pendapatan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

“Antara elaun yang disediakan ialah untuk perumahan, perubatan dan kenderaan.

“Kerja di ladang menjadi semakin mudah dan tidak lagi dianggap berat kerana pelbagai peralatan mekanisasi dan usaha menjurus ke arah automasi dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mat Roni turut memberitahu, Felcra telah membina 152 unit rumah penginapan di beberapa Projek Felcra yang paling strategik dalam usaha menyediakan infrastruktur bersesuaian bagi menempatkan pekerja ladang.

Pada masa sama, selari dengan komitmen mewujudkan 2,500 peluang pekerjaan dalam ladang bagi calon tempatan, beliau berkata, Felcra sehingga kini telah berjaya menempatkan seramai198 operator penuaian, 19 pemandu jentera dan 78 penoreh di estet seliaannya.

Beliau berkata, kemasukan tersebut dilakukan melalui program Temuduga Terbuka di Projek Felcra dan dalam talian melalui My Future Jobs Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Bermula Oktober 2020, Felcra giat mengadakan sesi temu duga bagi mengisi kekosongan jawatan Operator Penuaian di setiap Projek Felcra di seluruh negara.

“Dari Perlis hingga ke Sabah, kami mengalu-alukan setiap yang berminat untuk menghadiri sesi temu duga yang dijalankan untuk melihat peluang berkhidmat bersama Felcra dalam estet kelapa sawit di bawah pengurusan syarikat,” ujarnya.

Serap bekas banduan

Pada masa sama, Mat Roni memaklumkan melalui program Latihan Pintar Korporat (CSI) bersama Jabatan Penjara Malaysia, Felcra diberi peluang melatih seramai 321 Orang Di Parol (ODP) dan 49 bekas ODP yang telah bebas dan diserap masuk sebagai pekerja perladangan.

Menurutnya, melalui program CSI itu, ODP diberikan peluang untuk dilatih dengan kemahiran baharu dan diserapkan untuk berkhidmat bersama Felcra di sektor perladangan setelah tamat latihan.

“Mereka dapat memulakan hidup baru dalam satu komuniti yang saling membantu dalam aspek pemulihan secara holistik,” katanya.

Mengulas mengenai penglibatan golongan wanita dalam pekerjaan di sektor perladangan, Mat Roni menjelaskan, meskipun pihaknya tidak menetapkan sebarang sasaran kuota mengikut gender, namun penyertaan kumpulan tersebut dilihat masih kecil berbanding lelaki.

“Setakat ini, majoriti daripada mereka yang ditemu duga dan diserap masuk sebagai pekerja perladangan terdiri daripada lelaki.

“Bagaimanapun, Felcra sentiasa mengalu-alukan permohonan daripada mana-mana pihak termasuk dalam lingkungan umur 18 tahun hingga ke 40 tahun bagi pekerjaan berkaitan dalam estet,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, antara faktor utama orang tempatan kurang berminat bekerja di ladang ialah keperluan untuk berpindah jauh daripada keluarga kerana peluang pekerjaan banyak tertumpu di luar bandar, manakala individu yang memohon majoritinya dari bandar.

Selain itu menurutnya, cabaran atau dugaan bekerja untuk mencapai tahap produktiviti yang baik juga menjadi kekangan bagi mereka yang tidak berpengalaman bekerja dalam sektor perladangan.