Lebih 1,000 rumah di Merbok terjejas bekalan air

in Edisi by

MERBOK – Lebih 1,000 buah rumah sekitar Merbok menghadapi masalah bekalan air sejak kejadian banjir kilat pada Rabu lalu.

Mohd Azam Ali, 45, berkata, bekalan disedari terputus sejak kejadian banjir kilat selepas hujan lebat melanda Daerah Kuala Muda termasuk kawasan tragedi kepala air di Tupah, Merbok.

Menurutnya, sejak dari itu, bekalan air sering terganggu dengan kadar aliran air paip agak perlahan sehingga menjejaskan aktiviti harian penduduk.

“Air ni sat (sekejap) ada, sat tak dak (tiada), kadang-kadang pukul 2 atau 3 pagi ada bekalan air, kemudian selepas beberapa jam terputus semula,” katanya.

Sementara itu, Mariah Abu Bakar, 46, berkata, antara kawasan dikatakan terjejas termasuk Taman Lembah Bujang, Taman Lembah Bujang Indah dan Taman Lembah Bujang Utama dan penduduk sudah mula merungut.

“Isu bekalan air ni dah lama berlaku, tetapi sejak tiga hari kebelakangan ini, makin kerap, bila bekalan ada semula, air pula perlahan.

“Keluarga yang memiliki ramai anak agak terganggu terutama kanak-kanak masih kecil atau warga emas yang terlantar sakit. Misalnya, sebuah rumah saya ziarah yang baharu menerima kelahiran bayi.

“Masalah bekalan air yang terganggu boleh menjejaskan penjagaan kesihatan dan kebersihan ibu berpantang serta bayi yang baharu lahir,”katanya.

Menurutnya, penduduk tidak tahan lagi untuk berdepan isu air yang tidak berkesudahan selain meminta pihak berwajib peka untuk menyelesaikan permasalahan tersebut.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Perkhidmatan Korporat Syarikat Air Darul Aman (SADA), Anas Aidi Md Rozai berkata, Loji Rawatan Air (LRA) Tupah yang merupakan separa rawatan menerima bekalan air dari bukit Tupah.

Menurutnya, ketika musim hujan, kadar kekeruhan air mentah menjadi tinggi dan menyebabkan LRA Tupah terpaksa dihenti tugas disebabkan sistem rawatan tidak mampu memproses air mentah dengan kadar kekeruhan yang tinggi.

“Kadar aliran air mentah yang tinggi juga mempengaruhi operasi loji di mana boleh menyebabkan muka sauk rosak sehingga LRA tidak boleh beroperasi dengan kapasiti normal dan disebabkan itu, kerja penyelenggaraan perlu dilaksanakan segera setelah kadar aliran air mentah normal,” katanya.

Menurutnya, LRA Tupah terpaksa ditutup bagi memberi laluan kepada kerja-kerja kecemasan pembaikan muka sauk.

“SADA bagaimanapun menggerakkan bantuan lori tangki kepada penduduk di kawasan yang terkesan,” katanya.

Tambahnya, pengguna telah menerima bekalan air yang pulih secara berperingkat dengan kadar tekanan rendah.

Selain itu, maklumat menerusi laman sosial Facebook SADA turut memuat naik notis gangguan bekalan air di kawasan terbabit bermula 22 Oktober 2021, menganggarkan 10,300 akaun pengguna terjejas merangkumi kawasan Semeling, Pengkalan Bujang, Tanjung Dawai, Singkir, Taman Lembah Bujang, Taman Lembah Merbok, Kampung Tupah Lama dan Baru serta sekitarnya.

Gangguan dilaporkan berlaku sehingga kerja-kerja pembaikan dan agihan bekalan air selesai.