Perak sedia terima pelancong antarabangsa

in Edisi by

TAIPING – Kerajaan negeri Perak sentiasa bersedia untuk menerima kemasukan pelancong asing ke Pulau Pangkor sekiranya kerajaan membuka semula sektor pelancongan antarabangsa.

Bagaimanapun, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, perkara itu bergantung kepada kelulusan pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Nolee Ashilin berkata, pihaknya bersama penggiat industri pelancongan sudah bersedia dari segi prosedur operasi standard (SOP) serta jawatankuasa pemantauan.

“Kita dalam tahap persediaan ke arah itu sekiranya boleh diluluskan oleh pihak MOTAC kerana dari segi SOP, jawatankuasa pemantauan dan sebagainya telah dikumpulkan.

“Secara asasnya, rangka kerja sudah siap cuma kita menanti apa kaedah yang boleh membenarkan mereka untuk mengembara secara langsung dari lapangan terbang yang dibenarkan sama ada Pulau Pinang dan Kuala Lumpur ke Pulau Pangkor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas melancarkan Platform Zoo Maya ‘MyZooTaiping’ bersempena Sambutan Hari Zoo Sedunia di Zoo Taiping & Night Safari di sini pada Sabtu.

Nolee Ashilin berkata, pihaknya juga sedang bekerja rapat dengan MOTAC dalam menjadikan Pulau Pangkor sebagai destinasi pelancong antarabangsa seperti Pulau Langkawi, Kedah.

“Memang Langkawi jadi projek perintis kerana mempunyai lapangan terbang antarabangsa khusus yang boleh menerima pelancong asing secara terus.

“Tetapi berbeza dengan Pulau Pangkor kerana kita tiada penerbangan antarabangsa dari Ipoh atau Pulau Pangkor kecuali dari Singapura dan perkara ini masih di peringkat perbincangan dengan pihak kementerian,” katanya.