Perlis capai 96.67 peratus banci penduduk: DOSM

in Edisi by

KANGAR – Perlis telah mencapai kadar 96.67 peratus pelaksanaan bancian menerusi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) setakat ini.

Pengarah Jabatan Perangkaan negeri, A Pathmavathi berkata, kejayaan itu adalah hasil kerja di lapangan, selain turut menggunakan kaedah panggilan telefon yang dilaksanakan pihaknya selama ini.

“Tarikh akhir pelaksanaan Banci 2020 pada 31 Oktober ini, jadi ketika ini kita dalam proses menyemak dan akan mengesahkan segala maklumat yang telah diperoleh bagi Perlis,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program menyantuni gelandangan di sini awal pagi tadi.

Program turun padang itu turut disertai oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Penerangan Perlis meliputi kawasan Padang Besar, Kangar, Arau dan Kuala Perlis.

Menurut Pathmavathi, kumpulan gelandangan juga tidak terkecuali dalam pelaksanaan banci kerana data mereka juga penting untuk direkodkan.

“Tiada siapa yang tertinggal seperti permintaan oleh Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin kerana tidak kira sesiapa sahaja terlibat dalam pelaksanaan bancian ini supaya segala perancangan dan dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan sempurna,” katanya. – Bernama