Salah mahu kekal di Liverpool sehingga penghujung karier

in Sukan by

BINTANG Liverpool, Mohamed Salah menyatakan hasratnya mahu terus kekal bersama The Reds sehingga penghujung kariernya dalam bola sepak.

Menurutnya, dia gembira untuk terus berada di Anfield namun menegaskan rundingan mengenai kontrak bersama kelab itu tidak berada di dalam tangannya.

“Soal kontrak tidak bergantung kepada saya. Jika anda tanya saya, saya sangat suka untuk berada di kelab ini sehingga hari terakhir karier saya.

“Tetapi, saya tidak bole bercakap lebih mengenai urusan kontrak kerana ia bukan dalam tangan saya. Ia bergantung kepada apa yang dimahukan kelab.

“Buat masa ini, saya tidak nampak saya tidak dapat bayangkan saya bermain menentang Liverpool. Ia akan membuatkan saya sedih.

“Ia sangat sukar, saya tidak mahu bercakap mengenai perkara itu. Kita tengok apa yang akan terjadi pada masa hadapan,” katanya.

Pemain kelahiran Mesir itu diiktiraf sebagai pemain terbaik dunia oleh pengendali Liverpool, Jurgen Klopp selepas meledak 12 gol dalam 11 perlawanan buat The Reds musim ini.

Prestasi cemerlang Salah itu menyaksikan Liverpool mahu mengekalkan khidmatnya di kelab itu dengan kontraknya yang bakal tamat pada musim 2022-2023.

Namun, apa yang menjadi masalah berhubung rundingan kontraknya adalah gaji tinggi yang diminta oleh Salah.