SOP PRN Melaka dijangka dimuktamad minggu depan

in Politik by

MELAKA – Prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka dimuktamadkan minggu depan, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad.

Beliau berkata, perbincangan berkaitan SOP berkenaan telah mencapai peringkat akhir, dengan garis panduan untuk memperhalusi perkara itu sudah mencapai tahap 75 hingga 80 peratus.

“Awal minggu depan mungkin (SOP) akan dapat dimaklumkan kerana kita mahu mengambil kira pelbagai pandangan dan input termasuk cuaca, pendidikan dan sektor pelancongan.

“Ini penting kerana sektor pendidikan sudah dibuka dan pematuhan SOP oleh pelancong serta hotel juga perlu dilihat semula. Dalam mempersiapkan SOP ini kita perlu melihat di mana titik keseimbangannya,” katanya selepas melancarkan Pakej Pelancongan Pit Stop Melaka Cruise di Taman Rempah di sini pada Sabtu.

Kamel berkata, perbincangan SOP khas itu membabitkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka, kumpulan profesional serta kepakaran teknikal sejak minggu lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal 16 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – Bernama